Pemilikan Batavia Air dibatal?
JAKARTA 29 Julai - Pemerintah Indonesia berkemungkinan akan membatalkan pengambilalihan syarikat penerbangan Batavia Air oleh syarikat penerbangan tambah murah Malaysia, AirAsia Berhad dengan rakan perniagaannya di Indonesia.
Keputusan itu akan dibuat seandainya transaksi itu melanggar batasan pemilikan ke atas syarikat asing dalam industri penerbangan, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan seorang pegawai kerajaan Indonesia.
Ketua Pengarah Pengangkutan Udara (Kementerian Pengangkutan), Herry Bhakti Gumay berkata, AirAsia Berhad dan rakan pemilikan saham Batavia Air, PT Fersindo Nusaperkasa, sehingga kini masih belum mengemukakan laporan mengenai hak pemilikan kepada kementerian berkenaan.
Minggu lalu, AirAsia Berhad dan Fersindo yang memiliki 51 peratus kepentingan dalam Indonesia AirAsia (IAA) mengumumkan pembelian Batavia Air daripada Metro Batavia dalam satu urus niaga tunai bernilai AS$80 juta (RM253 juta).
"Kami (kerajaan) memberikan Batavia, AirAsia Berhad dan Fersindo Nusaperkasa tempoh satu bulan untuk melaporkan rancangan mereka kepada kita.
"Kita akan membatalkan proses pemilikan Batavia Air seandainya Indonesia bukan pemegang saham majoriti," kata Herry kepada wartawan seperti yang dilaporkan akhbar tempatan hari ini.
Herry juga berkata, kementeriannya juga tidak akan teragak-agak untuk membatalkan permit penerbangan Batavia Air.
Berdasarkan rancangan pemilikan yang diumumkan minggu lalu, AirAsia Berhad akan memiliki 49 peratus kepentingan dalam Metro Batavia, sementara Fersindo pula akan menguasai baki kepentingan sebanyak 51 peratus sebagai memenuhi undang-undang pemilikan Indonesia.
Herry bagaimanapun berkata, status pemilikan Fersindo yang menguasai 51 peratus saham dalam IAA juga masih belum jelas.
Pengasas dan pemilik AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam kenyataannya sebelum ini berkata, pembelian Batavia Air akan melengkapi jaringan antarabangsa AirAsia, yang semakin meluas.
Sekalipun pemerhati industri penerbangan melihat hak pemilikan berkenaan dari persepsi yang negatif, namun Tony, pula melihat dari sudut pandangan yang berbeza.
Kepada Tony, kerjasama hak pemilikan itu akan membantu mengembangkan lagi perniagaan kedua-dua syarikat.
"Ini merupakan 'perkahwinan' yang bagus kerana Batavia Air merupakan 'permata' di Indonesia. Kami berharap akan membina sesuatu yang istimewa di sini seperti meningkatkan jumlah pelancong ke Indonesia dan membantu lebih ramai rakyat Indonesia untuk terbang," jelas Tony pada sidang media semasa pengumuman perjanjian pembelian PT Metro Batavia, yang menggendalikan Batavia Air dan Aero Flyer Institute (AFI), sebuah sekolah latihan penerbangan.
Sementara itu, pakar penerbangan dan bekas anggota Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT), Hana Simatupang berkata, perjanjian pembelian hak milik yang dibuat baru-baru ini menyaksikan pertumbuhan penguasaan syarikat penerbangan asing dalam industri tersebut.
Pengumuman pemilikan Batavia Air oleh AirAsia sampai ke kemuncak keresahan selepas sebelum ini syarikat penerbangan Tiger Airways dari Singapura telah mengambil alih kepentingan Mandala Air awal tahun ini.
Batavia Air, syarikat penerbangan yang berpangkalan di Jakarta dan Surabaya pada masa ini mengendalikan penerbangan domestik ke 42 destinasi tempatan dan enam perkhidmatan antarabangsa ke Singapura
Comments