Firefly hubungkan Pulau Pinang-Koh Samui

kumpulan penumpang pertama penerbangan sulung laluan baru Firefly Koh Samui - Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, kelmarin.

PULAU PINANG 12 Ogos - Syarikat penerbangan komuniti, FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly) memulakan penerbangan sulung bagi laluan baru dari Pulau Pinang ke Koh Samui, Thailand semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ignatius Ong berkata, melalui destinasi penerbangan baru itu, syarikat berkenaan menyasarkan 85 peratus penumpang memenuhi pesawat bagi setiap perjalanan.

“Syarikat akan mengadakan penerbangan ke pulau peranginan itu sebanyak tiga kali seminggu dan yakin ia akan mendapat sambutan daripada pelanggan.

“Selain pelancong domestik, kita juga menyasarkan pelancong dari negara seperti Britian, Korea, Jepun, India, Australia dan Asia Barat untuk menggunakan perkhidmatan ini," katanya pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan kumpulan penumpang pertama dari Koh Samui ke sini di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas semalam.

Hadir sama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Azmi Murad.

Menurut Ignatius, ketika ini, wujud peningkatan permintaan daripada pelancong yang mahu bercuti ke pulau berkenaan.

“Oleh itu, syarikat kami mewujudkan akses ke Koh Samui melalui Pulau Pinang yang diharap menjadi pilihan terbaik untuk pelancong yang mahu menikmati keindahan pulau di rantau ini," katanya.

Katanya, sempena penerbangan sulung itu, Firefly turut menawarkan tambang semua sehala berharga RM199 bagi laluan Pulau Pinang dengan tempoh masa tempahan ialah dari 13 hingga 26 Ogos bagi perjalanan 23 hingga 31 Oktober ini.

Comments