Maritim Malaysia kurang juruterbang

PUTRAJAYA 3 Ogos - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berdepan dengan masalah kekurangan juruterbang terlatih untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan melalui udara.

Pengarah Cawangan Operasi Udara Maritim Malaysia, Datuk Zammani Mod Amin berkata, sehingga kini pihaknya terpaksa bergantung kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan syarikat luar untuk mengatasi masalah itu.

Katanya, penggunaan perkhidmatan luar itu tidak mencukupi berbanding operasi penguatkuasaan yang perlu dilaksanakan Maritim Malaysia setiap hari bagi mengawal seluruh perairan negara.

"Sekarang ini kita hanya mempunyai dua juruterbang helikopter dan lima juruterbang pesawat di mana dua juruterbang pesawat itu dipinjamkan oleh TUDM bagi tempoh tiga tahun.

"Yang selebihnya kita mengambil juruterbang berpengalaman secara kontrak dalam jangka masa pendek iaitu tiga hingga lima tahun," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zammani, pihaknya memerlukan seramai 48 juruterbang terlatih dan pembantu juruterbang untuk melaksanakan tugas mengawal dan menyelamat di perairan negara.

Namun katanya, kekurangan juruterbang untuk helikopter lebih kritikal berbanding juruterbang pesawat yang masih mencukupi.

Selain itu katanya, untuk mengatasi masalah itu pihaknya juga telah melatih sendiri seramai 25 juruterbang baru namun memerlukan tempoh antara lima hingga 10 tahun sebelum mahir sepenuhnya.

Kata Zammani, disebabkan masalah itu juga Maritim Malaysia masih belum mampu memperluaskan operasi ke Sabah dan Sarawak bagi proses pemantauan dan menyelamat menerusi udara.

"Setakat ini kita ada enam helikopter dan pesawat yang beroperasi di Subang dan Kota Kinabalu tetapi jumlah itu masih tidak mencukupi. Bagaimanapun sebagai permulaan isu kekurangan juruterbang perlu diatasi terlebih dahulu.

"Sebenarnya kita memerlukan tambahan empat lagi pangkalan iaitu di Sandakan, Sabah: Kuching, Sarawak: Kerteh, Terengganu dan Pulau Langkawi, Kedah di mana setiap tempat memerlukan tiga helikopter," katanya.

Dalam pada itu, ditanya keperluan untuk menyerap juruterbang yang sedang menganggur, katanya, terdapat perbezaan antara juruterbang komersial dan Maritim Malaysia yang bukan sekadar menerbangkan pesawat tetapi juga perlu melakukan operasi mencari dan menyelamat.

"Namun, pihak kami ada perancangan bagi membantu juruterbang-juruterbang ini menerusi kaedah bekerjasama dengan pihak luar bagi menjalankan tugas memantau perairan negara.

"Juruterbang yang menganggur berpeluang bekerja dengan pihak itu bagi mencukupkan masa penerbangan dan pengalaman sebelum diiktiraf sebagai juruterbang terlatih," katanya.

Menurutnya, cadangan itu telah dihantar untuk kelulusan kerajaan dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Sementara itu ditanya perancangan masa depan Maritim Malaysia, katanya, pihaknya mahu mendapatkan sebanyak 12 lagi helikopter dan tiga pesawat.

Comments

Popular Posts