Wow!!!!
Etihad, Aer Lingus berkongsi kod selepas jalin kerjasama
PERKONGSIAN kod membolehkan Etihad menerbangkan penumpangnya yang tiba di Dublin menggunakan penerbangan Aer Lingus ke London, Manchester atau destinasi lain. - GAMBAR HIASAN
MELBOURNE 31 Julai - Etihad Airways telah menandatangani satu perjanjian perkongsian kod dengan Aer Lingus, dua bulan selepas ia mengambil alih kepentingan kecil di dalam syarikat penerbangan Ireland itu.
"Etihad Airways dan Aer Lingus telah menandatangani satu perjanjian sesama syarikat penerbangan dan perkongsian kod berikutan pembelian ekuiti 2.987 peratus baru-baru ini oleh syarikat penerbangan negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) di dalam syarikat penerbangan Ireland itu," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Perjanjian itu akan membolehkan Etihad menerbangkan para penumpangnya yang tiba di Dublin menggunakan penerbangan Aer Lingus ke London, Manchester atau destinasi lain di Ireland, Portugal, Belanda dan Amerika Syarikat.
Sebagai balasan, penumpang Aer Lingus yang tiba di Abu Dhabi akan dapat menaiki penerbangan Etihad ke Australia, Asia dan Asia Barat.
Etihad mempunyai 10 penerbangan seminggu ke Dublin.
Ia mengumumkan pada 1 Mei bahawa ia telah mengambil alih kepentingan 2.987 peratus di dalam Aer Lingus, dengan menambah kepentingan kawalan 30 peratusnya di dalam Airberlin dan 40 peratus di dalam Air Seychelles.
Etihad, yang mempunyai 67 pesawat udara, terbang ke 87 destinasi penumpang dan kargo di seluruh dunia.
Syarikat penerbangan itu telah menempah 100 lagi pesawat udara, yang termasuk 10 Airbus A380
Comments