Cathay Pacific pertama guna Boeing 747-8F

PULAU PINANG 13 Ogos - Kapal terbang kargo syarikat penerbangan Cathay Pacific iaitu Boeing 747-8F yang merupakan kapal terbang perdagangan terbesar di dunia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, di sini hari ini.

Menurut Pengurus Cathay Pacific Malaysia dan Brunei, Mandy Wu, syarikat itu merupakan syarikat penerbangan pertama di Asia Pasifik yang menggunakan Boeing 747-8F sebagai kapal terbang kargo.

Pesawat itu akan meletakkan Cathay Pacific pada kedudukan yang kompetitif, terutama dalam segmen kargo walaupun industri itu kini semakin perlahan di seluruh dunia.

Katanya, menerusi pesawat itu, syarikat boleh menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya.

Jelasnya, kapal terbang itu menggunakan teknologi baru yang boleh membantu meningkatkan keberkesanan dalam kerja-kerja penghantaran.

Inovasi teknologi pesawat itu, termasuk menggunakan enjin canggih, penggunaan komposit dan aloi yang lebih ringan, akan mengurangkan penggunaan bahan api serta pelepasan dengan ketara.

Ia juga mempunyai kesan bunyi 30 peratus lebih rendah, berbanding pesawat sebelumnya.

"Dengan kapal terbang kargo ini, ia membolehkan kami membekalkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kerana kargo merupakan perniagaan penting kepada syarikat ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan kapal terbang kargo itu bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Lapangan Terbang Bayan Lepas, di sini hari ini.

Difahamkan, Cathay Pacific setakat ini mempunyai 10 buah kapal terbang model Boeing 747-8F yang mana enam daripadanya kini telah mula beroperasi.

Dalam pada itu, Mandy memberitahu, kapal terbang kargo yang boleh membawa muatan maksimum 140 tan tersebut akan mengadakan tiga penerbangan setiap minggu ke Pulau Pinang.

Comments

Popular Posts