MAS unjur peningkatan 15% penumpang dari India

NEW DELHI 13 Ogos - Malaysia Airlines (MAS) mengunjurkan pertumbuhan 15 peratus jumlah penumpang dari India tahun ini berbanding 2011, kata Naib Presiden Kanan (Jualan dan Pengedaran Global), kata Duncan Bureau.

"Meskipun ekonomi dunia perlahan, India merupakan pasaran yang mampu mencatat pertumbuhan bagi MAS.

"Oleh itu, MAS menambah kekerapan penerbangan semasa dari Mumbai, Chennai dan Bengaluru ke Kuala Lumpur sebanyak 10 penerbangan siang," katanya dalam satu kenyataan.

Penambahan itu, yang berkuat kuasa 1 September, akan menyediakan pilihan perjalanan yang lebih baik untuk pelawat yang mahu menikmati sambungan yang lebih baik ke destinasi dalam rangkaian penerbangan MAS.

MAS mempunyai sambungan penerbangan yang baik ke lima bandar raya metro di India - New Delhi, Bengaluru, Chennai, Mumbai dan Hyderabad untuk penerbangan dari Kuala Lumpur.

Pada masa ini, ia menyediakan 40 penerbangan mingguan ke India dari Kuala Lumpur, dengan 12 penerbangan mingguan dari New Delhi ke Kuala Lumpur dan tujuh penerbangan seminggu ke Mumbai, Hyderabad, Chennai dan Bengaluru dari Kuala Lumpur.

Dalam usaha menjadikan MAS lebih menarik, syarikat penerbangan Malaysia itu sentiasa memperkenal pelbagai pakej lawatan dan perjalanan bernilai untuk pelancong. - BERNAMA

Comments

Popular Posts