AIRASIA XAirAsia X tambah enam pesawat A330-300

Gambar fail menunjukkan pesawat Airbus A330 yang dibeli AirAsia X, baru-baru ini. - AFP
KUALA LUMPUR 9 0gos - AirAsia X bakal menambah enam lagi pesawat Airbus A330-300 yang dipajak daripada International Lease Finance Corporation (ILFC) dengan nilai AS$500 juta (RM1.6 bilion) untuk tempoh 10 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azran Osman-Rani berkata, pesawat-pesawat tersebut dijadualkan tiba di antara tahun depan dan 2014.
Katanya, ia bakal mengukuhkan lagi kedudukan syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu di laluan-laluan seperti Jepun, Korea, Australia dan China.
"Kami mahu terus berkembang dengan menambah laluan-laluan baru yang telah dikenal pasti selain terbang ke bandar-bandar lain di mana AirAsia X telah mempunyai kedudukan di negara tersebut.
"Kami mahu pastikan AirAsia X menguasai industri ini," katanya semasa sidang akhbar selepas menandatangani surat hasrat dengan ILFC di sini hari ini.
ILFC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Henri Courpron untuk menandatangani surat hasrat (LOI) sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Naib Presiden ILFC Singapore Ltd., Peter Anderson.
Jelas Azran, kesemua enam pesawat tersebut mempunyai model dan usia yang sama dengan pesawat yang telah dibeli AirAsia X secara langsung daripada Airbus dengan enjin Rolls Royce Trent.
Tambahnya lagi, fokus AirAsia X kini adalah untuk menggandakan kapasiti terutama di laluan-laluan yang telah dikenal pasti, selain meningkatkan keberkesanan kos serta memberikan nilai yang tinggi kepada penumpang.
Pesawat-pesawat tersebut akan diubahsuai bagi memenuhi konfigurasi Airbus A330-300 sedia ada iaitu menyediakan 12 'flatbeds' premium dan 365 tempat duduk ekonomi.
Dalam pada itu, Tony ketika ditanya mengenai kemungkinan laluan Eropah diwujudkan semula berkata: "Ia sesuatu yang sukar untuk kami membuat keuntungan menerusi laluan tersebut."
Beliau yang juga ahli lembaga pengarah AirAsia X berkata, setiap syarikat penerbangan mengalami masa yang sukar untuk terbang ke Eropah ketika ini.

Comments

Popular Posts