Rakyat diminta pilih MAS, Firefly


KUALA LUMPUR 22 Mei - Rakyat digesa mempamerkan semangat nasionalis dengan menjadikan syarikat penerbangan milik kerajaan, Malaysian Airline System Berhad dan Firefly sebagai pilihan utama bagi pengangkutan udara.

Presiden Belia 4B Malaysia, Muamar Ghaddafi Jamal Jamaluddin berkata, tindakan itu dapat mengukuhkan lagi syarikat penerbangan itu selain membuka lebih banyak ruang ekonomi untuk rakyat dan negara.
Menurut beliau, MAS juga diiktiraf sebagai antara penerbangan terbaik di dunia sekali gus terbukti dari sudut kualiti dan kewibawaan perkhidmatannya.

“Dua syarikat berkenaan milik kerajaan dan keuntungan daripada operasinya akan digunakan kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat, jadi kenapa perlu memilih penerbangan lain yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman menggesa kakitangan awam seluruh negara memboikot AirAsia atau menjadikan syarikat penerbangan itu sebagai pilihan terakhir untuk ke mana-mana destinasi.

Gesaan itu ekoran pelbagai kontroversi yang dikaitkan dengan kelemahan perkhidmatan AirAsia termasuk terbaharu tindakan syarikat penerbangan tambang murah tersebut menghalang seorang ibu dan anaknya menaiki pesawat dari Vietnam untuk pulang ke negara ini kerana mendakwa anak wanita berkenaan menghidap demam campak.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Anak Muda Islam (KAMI) Perak, Mohd. Jefry Amin Abd. Hamid menyokong gesaan memboikot penerbangan AirAsia kerana perkhidmatan syarikat tersebut khususnya dari sudut kebajikan pelanggan begitu mengecewakan.

Katanya, harga tambang yang murah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk AirAsia memberi perkhidmatan sambil lewa kerana pengguna merupakan nadi kepada kelangsungan operasi syarikat itu.
“Perkhidmatan mereka kelam kabut, tidak profesional, mungkin kerana kita bayar murah, kakitangan pun tidak begitu mengambil peduli tentang pelanggan.

“Kita sebagai pengguna, gunakan kuasa yang ada, boikot syarikat penerbangan ini atau jadikan sebagai pilihan terakhir sehingga mereka belajar menghormati pelanggan," katanya.



Comments