MAS sasar berdikari dari segi kewangan menjelang 2014



PETALING JAYA 14 Mei - Malaysia Airlines (MAS) menyasarkan untuk mentransformasikan dirinya sendiri untuk menjadi satu entiti berdikari di segi kewangan menjelang akhir 2014, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya.

Katanya, syarikat penerbangan kebangsaan itu, yang mencatatkan kerugian lebih rendah pada 2012, juga sedang mengkaji pelan untuk membiayai sendiri pembelian pesawatnya di dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

"Kami mempunyai pelan strategik. Pemulihan syarikat itu akan dizahirkan menjelang akhir tahun, dengan kebanyakan (peningkatan) dilihat pada separuh kedua tahun ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat penerbangan itu hari ini.

Ahmad Jauhari berkata, MAS menyasarkan untuk memperkenalkan laluan baharu dan menarik yang melibatkan tempoh penerbangan dalam radar selama lapan jam bagi meningkatkan saiz rangkaiannya, yang mengecil 6.0 peratus pada tahun lepas berikutan eksersais rasionalisasi laluannya.

Katanya, 24 pesawat baharu, kesemuanya berangka kecil, akan diterima MAS tahun ini bagi menggantikan pesawat yang sama saiznya, yang akan diberhentikan.

Ahmad Jauhari berkata, MAS juga berhasrat untuk mengembangkan bilangan pesawatnya, melalui pengumuman lanjut menjelang akhir sukuan seterusnya di segi bilangan dan jenis pesawat yang akan ditempah.

"Kami telah menerima kesemua pesawat Airbus A380 (enam kesemuanya).
Kesemuanya kini terbang dua kali sehari ke London, dan setiap hari ke Paris dan Hong Kong."
"Kini, kami sedang mengkaji pelan bilangan pesawat kami dan kami akan membuat satu pengumuman menjelang akhir sukuan hadapan," katanya.
Proses penggantian pesawat akan menempatkan MAS dalam keadaan yang menggalakkan dan dijangka menurunkan usia kumpulan pesawat ke bawah 5.4 tahun menjelang akhir tahun, berbanding 9.2 tahun yang dicatatkan pada akhir 2012.

"Kami akan turut menikmati penjimatan fuel pada purata 15-20 peratus bagi setiap satu tempat duduk melalui kumpulan pesawat baharu dan moden. Penjimatan fuel akan dicerminkan pada kunci kira-kira kami kerana fuel adalah salah satu kos teras sesuatu syarikat penerbangan," kata Ahmad Jauhari.

MAS menyaksikan pertumbuhan 3.5 peratus muatan penumpang bagi tempoh tiga bulan pertama 2013 kepada 76.6 peratus berbanding 73 peratus yang dilaporkan semasa tempoh yang sama tahun lepas.
Ia menyaksikan peningkatan 16.5 peratus perolehan penumpang kilometer (RPK) dalam tempoh yang dikaji berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas. RPK adalah jumlah purata sesuatu syarikat penerbangan bagi menerbangkan seseorang penumpang berbayar dalam jarak satu kilometer.
Bagi sukuan yang sama, MAS mengendalikan sejumlah 3.6 juta penumpang berbanding dengan 3.1 juta penumpang bagi tempoh yang sama setahun lepas.

Ahmad Jauhari berkata, MAS yang menyasarkan untuk kembali mencatatkan keuntungan menjelang akhir tahun depan, merasa positif mengenai prospeknya tahun ini, walau pun dalam keadaan yang mencabar seperti kemunculan Malindo Airways di dalam negara dan Air France pada peringkat antarabangsa.
Air France, yang kembali beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada bulan lepas, kini menggunakan pesawat B777 bagi penerbangan tiga kali seminggu ke Paris, manakala MAS menggunakan pesawat A380 bagi penebangan harian ke Paris.

"Perniagaan syarikat penerbangan tidak mudah kerana ada masa turun dan ada masanya naik. Kami berharap untuk mencatatkan keuntungan operasi bagi baki dua sukuan tahun ini, seperti dua sukuan yang lepas. "Kami menjangka prestasi yang baik pada separuh kedua 2013. Strategi kami kini ialah untuk menarik para pelanggan kembali menggunakan perkhidmatan kami.

"Melalui persaingan yang sengit di dalam industri itu, saya perlu akur bahawa MAS telah kehilangan beberapa peratus tertentu pelanggannya kepada syarikat penerbangan lain.

"Kini, kami merancang mengekalkan pelanggan sedia ada sambil menarik pelanggan baharu," katanya.
Ahmad Jauhari berkata, pelan lima tahun untuk mengekalkan kerelevanan MAS di segi kepuasan pelanggan dan pengalaman kini sedang dilaksanakan dengan kesannya dijangka sangat positif


Comments

Popular Posts