Naik taraf terminal RM55 juta

Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penerima anugerah kakitangan cemerlang pada Majlis Pelancaran Projek Penambahbaikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra , Kota Bharu, semalam .

KOTA BHARU 29 April - Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) hari ini melancarkan projek penambahbaikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini, dalam usaha meningkatkan tahap perkhidmatan dan mengutamakan aspek keselesaan bagi kemudahan para penumpang.
Bangunan terminal baharu LTSIP yang dibina dengan kos sebanyak RM55 juta, telah mula beroperasi sejak tahun 2002 dengan kapasiti 1.5 juta penumpang setahun, berkonsepkan 'Moorish' sinonim dengan imej Islam negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Pengerusi MAHB, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata, LTSIP merupakan salah sebuah lapangan terbang kendaliannya yang sedang menjalani pembaharuan di bawah Airport Commercial Model (ACM).
Menurut beliau, projek penaiktarafan yang sedang dijalankan di lapangan terbang ini melibatkan kemudahan awam seperti tandas dan penaiktarafan kawasan menunggu di Balai Berlepas serta bangunan yang dicat semula.

"Ini adalah satu tekad untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para penumpang memandangkan LTSIP adalah lapangan terbang domestik yang ketiga paling sibuk di Malaysia selepas lapangan terbang Miri dan Subang.

"Selain itu, projek penambahbaikan turut melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian dan penyusunan semula ruangan perniagaan serta penyelarasan jenis-jenis produk dan perkhidmatan komersial," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Projek Penambahbaikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.

Tambah beliau, ruangan komersial juga ditambah keluasannya dengan pelbagai pilihan produk, restoran dan ruang istirehat khas baharu untuk keselesaan penumpang.

"Ruangan komersial sedia ada seluas 805 meter persegi dipertingkatkan sehingga 63 peratus lebih besar kepada 1,312 meter persegi dan setiap ruangan kedai akan diberikan wajah baru," katanya.
Wan Abdul Aziz berkata, penambahbaikan ini sekali gus dapat menggandakan bilangan penumpang kepada 1.26 juta bagi tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Jumlah pergerakan pesawat turut mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 17,112 pergerakan pada tahun lepas berbanding 15,304 tahun sebelumnya.

"Dengan anjuran peratusan pertumbuhan ini, saya yakin ia akan dapat melampaui keupayaan reka bentuk pengendalian sejumlah 1.5 juta penumpang setahun dalam masa terdekat," katanya.
Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar Malaysia Airports Bhd. (MAB), Zainol Mohd Isa.



Comments

Popular Posts