Kewangan Malindo Air kukuh



Chandran Rama Muthy bergambar di hadapan pesawat baharu Malindo Air pada majlis penerimaan pesawat jenis ATR 72-600 di Airod Aerospace Technology Subang, Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON


PETALING JAYA 20 Mei - Syarikat penerbangan tempatan baharu, Malindo Air, yakin terhadap pengembangan operasinya, terutamanya dengan adanya sokongan kewangan yang kukuh daripada syarikat induknya, iaitu National Aerospace and Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI) dan PT Lion Grup.
Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkata, dua syarikat induknya itu yang berpengalaman di dalam perkhidmatan pengangkutan udara menjadi kekuatan kepada syarikatnya, selain faktor kewangan.
Malah, NADI sendiri yang memiliki pusat penyelenggaraan kenderaan pengangkutan udara berupaya membantu menyediakan perkhidmatan kepada pesawat-pesawat Malindo Air.
"Hal itu membolehkan kami menguruskan kewangan dengan baik.
"Semua penjimatan yang dapat dilakukan diubah kepada tawaran tambang penerbangan yang murah," katanya kepada pemberita pada majlis penerimaan pesawat jenis ATR 72-600 pertama Malindo Air, di sini hari ini.
Pesawat yang diterbangkan dari Toulouse, Perancis itu adalah yang pertama daripada kesemua enam pesawat yang dibeli Malindo Air. Kesemua pesawat yang dibeli Malindo Air dijangka diterima tahun ini.
Pesawat ATR 72-600 akan digunakan untuk laluan ke Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Bharu mulai 3 Jun ini daripada Terminal Lapangan Terbang Subang.
Kata Rama Muthy, ATR 72-600 juga dijangka diguna pakai untuk laluan dengan tempoh penerbangan tidak sampai dua jam ke destinasi terpilih seperti ke Sumatera, Indonesia.
Pesawat bersaiz 72 tempat duduk itu juga dianggap sebagai pengangkutan pengantara kepada penumpang perkhidmatan penerbangan jarak jauh Malindo Air dari pelbagai negara, jika mereka mahu ke bandar-bandar lain dalam Malaysia.
Mengulas mengenai peluasan rangkaian antarabangsa, Rama Muthy berkata, pihaknya kini sedang menantikan kelulusan daripada pihak berkuasa India bagi membolehkan Malindo Air menyediakan laluan ke negara Asia Selatan itu.


Comments

Popular Posts