Malindo Air tawar 5 kg tambahan bagasi percuma
KUALA LUMPUR 22 Mei - Syarikat penerbangan hibrid pertama Malaysia, Malindo Air menawarkan tambahan lima kilogram bagasi percuma kepada penumpang semua penerbangan kelas ekonomi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang Skypark.
Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkata, polisi baharu bagasi itu bagi memenuhi permintaan sebahagian besar daripada 100,000 penumpang yang telah menggunakan perkhidmatan Malindo Air sejak memulakan penerbangan sulung pada 22 Mac lalu.
Menurut beliau, penambahan kuota berat daftar masuk bagasi itu turut ditawar bagi penerbangan dari Subang Skypark ke Pulau Pinang, Kota Bharu dan Johor Bahru menerusi pesawat ATR 72-600 untuk memastikan keseragaman dalam perkhidmatan yang ditawarkan syarikat penerbangan tersebut.
"Kami sangat berbesar hati dengan sokongan daripada para penumpang. Sehubungan itu, kami gembira menawarkan penambahan bagasi untuk perkhidmatan penerbangan kelas ekonomi sekali gus dapat mengurangkan kos perjalanan penumpang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, syarikat penerbangan Malindo Air yang kini mempunyai dua pesawat Boeing 737-900ER yang beroperasi dari KLIA ke Kuching dan Kota Kinabalu akan meluaskan operasi penerbangan ke Sibu, Miri dan Tawau dari KLIA bermula 11 Jun ini.
"Selain itu, kami juga akan memulakan operasi pesawat ATR untuk penerbangan ke Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Bharu dari Subang Skypark bermula 3 Jun ini," katanya.
Comments