MAS sahkan Maryam Sofea sihat



KUALA LUMPUR 20 Mei - Maryam Sofea Mohd. Reza, 14 bulan, yang dilarang menaiki pesawat AirAsia dari Lapangan Terbang Ho Chi Minh, Vietnam untuk pulang ke Malaysia bersama ibunya, Izan Suhaila Mohd. Ali, 36, kerana didakwa menghidap demam campak disahkan sihat oleh seorang doktor tempatan di sana.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, sejurus mendapat maklumat 
mengenai mereka daripada Tourism Malaysia, kakitangan MAS di sana terus membawa kedua-dua beranak itu dari hotel tempat mereka menginap ke klinik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu tidak lagi menghidap demam campak seperti didakwa kakitangan AirAsia dan tompokan hitam di kulitnya hanya parut yang sudah kering.
"Sejurus selepas itu, kakitangan MAS menyediakan dokumen perjalanan untuk Maryam Sofea, ibunya dan dua lagi saudara mereka.

"Mereka terus dihantar pulang ke Malaysia dengan penerbangan MH759 dari Ho Chi Minh bagi mengelak menanggung lebih banyak kos di sana," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Penjelasan itu sekali gus menyangkal kenyataan AirAsia yang dimuat naik di laman Facebook semalam bahawa doktor yang bertugas di lapangan terbang tersebut mengisytiharkan Maryam Sofea tidak sihat.
Insiden malang yang menimpa kedua-dua beranak itu yang dilarang kakitangan AirAsia menaiki pesawat AK 1455 di lapangan terbang Ho Chi Minh, Vietnam, Sabtu lalu didedahkan wartawan TV3, Mazidul Akmal Sidek di blognya http://www.mazidulakmal.com.

Menerusi blognya, Mazidul Akmal menulis: "Melalui pengamatan saya dan keluarga Izan, tiada doktor Vietnam membuat pemeriksaan terhadap Maryam Sofea di sekitar pintu 18 lapangan terbang. Hanya jururawat ditugaskan mengambil bacaan suhu badan bayi itu. Ditanya oleh ahli keluarga mengenai bacaan suhu badan bayi berusia 14 bulan terbabit, jururawat warga asing itu hanya membisu."

Menurut Ahmad Jauhari, keupayaan pasukannya bertindak walaupun di luar waktu bertugas menunjukkan keprihatinan dan keutamaan mereka terhadap keselamatan penumpang.
"Mereka telah mempamerkan semangat sebenar kasih sayang dan empati tanpa melanggar mana-mana peraturan atau prosedur.

"Saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan MAS dan Tourism Malaysia yang terlibat secara langsung dalam kes ini," katanya.

Comments

Popular Posts