MFA labur RM11 juta tambah lapan pesawat baharu


Mohd. Afham Hilman Mohd. Ariffin (dua dari kiri) menunjukkan trofi-trofi yang dimilikinya sebagai pelajar terbaik keseluruhan selepas majlis graduasi Akademi Penerbangan Malaysia di Batu Berendam, Melaka, semalam. - UTUSAN/azli ahad

MELAKA 28 Mei - Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) Batu Berendam di sini akan melabur kira-kira RM11 juta (AS$3.6 juta) bagi membeli lapan pesawat baharu bertujuan mempertingkatkan kemudahan serta kualiti latihan kepada para pelatihnya.

Pengetuanya, Stephen Michael Terry berkata, pembelian pesawat itu merupakan sebahagian daripada rancangan MFA bagi memperbaharui kemudahan penerbangan, termasuk menggantikan 25 pesawat sedia ada yang digunakan untuk latihan secara berperingkat di akademi itu.

Menurutnya, pelaburan itu meliputi pembelian empat pesawat enjin berkembar berharga kira-kira RM1.82 juta (AS$600,000) setiap satu serta empat pesawat satu enjin yang bernilai kira-kira RM912,450 (AS$300,000).

"Kita akan memperoleh tiga daripada lapan pesawat itu pada pertengahan Ogos ini, manakala selebihnya akan diperoleh awal tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis Konvokesyen MFA di Batu Berendam, di sini hari ini.
Hadir sama Komander Unit Udara Polis, Senior Asisten Komisioner Kamarulzaman Mohd. Jan yang juga bekas pelajar kumpulan pertama MFA.

Pada majlis itu, seramai 63 graduan menerima Lesen Penerbangan Komersial dengan Penarafan Instrumen atau 'Commercial Pilot Licence with Instrument Rating' (CPL/IR) selepas menamatkan pengajian di akademi tersebut.
Jelas Michael, terdapat pesawat sedia ada yang digunakan untuk latihan ketika ini yang telah berusia lebih 10 tahun dan ia perlu digantikan dengan pesawat baharu yang lebih moden sesuai dengan keperluan serta perkembangan bidang penerbangan.
Sementara itu, katanya, permintaan bagi pasaran kerja dalam bidang terbabit agak kurang ketika ini kesan krisis ekonomi 2008 dan ia dijangka akan pulih pada penghujung tahun ini.

Comments

Popular Posts