Pesawat lama terhempas, juruterbang maut



Orang ramai menyaksikan kebakaran besar apabila sebuah pesawat lama terhempas ke atas sebuah hangar semasa pertujukan udara di lapangan terbang Cuatro Vientos, Madrid, Sepanyol, kelmarin. - Agensi

MADRID 6 Mei - Seorang juruterbang terbunuh, selepas sebuah pesawat lama yang dipandunya terhempas ke atas sebuah hangar sebelum meletup ketika mengadakan pertunjukan udara di barat daya bandar raya ini, semalam.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Sepanyol, Alfredo Florenza berkata, juruterbang terbabit, Ladislao Tejedor Romero, 35, meninggal dunia di hospital Getafe selepas mengalami luka parah.

Katanya, kejadian berlaku di lapangan terbang Cuatro Vientos disaksikan kira-kira 3,000 penonton apabila Romero yang juga pembantu Menteri Pertahanan, Pedro Morenes menerbangkan pesawat HA-200 Saeta dan terhempas, menyebabkan berlaku letupan besar.

"Punca kejadian masih disiasat," katanya.
Pesawat itu merupakan antara pesawat pertama menggunakan enjin kipas yang dihasilkan oleh syarikat Sepanyol, Hispano Aviacion sebagai pesawat latihan yang canggih pada era 50-an sebelum diubah suai menjadi pesawat penyerang.

Televisyen tempatan, RTVE turut merakamkan imej kepulan asap tebal yang menjulang tinggi dari kawasan hangar.

Saksi insiden itu berkata, pesawat berkenaan menjunam laju sebelum terhempas.
Pihak berkuasa lapangan terbang Sepanyol, AENA berkata, tiada mangsa lain terbunuh atau cedera dalam tragedi tersebut

Comments

Popular Posts