MASkargo tinjau pasaran baharu




Mohd. Yunus Idris (dua dari kiri) dan Ibrahim Ahmad (dua dari kanan) melihat pertukaran dokumen antara wakil pengurusan kanan MASkargo dan Mara selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara MASkargo dan Institut Kemahiran Mara di Subang, semalam.

SUBANG JAYA 30 April - MASkargo Sdn. Bhd. (MASkargo) meninjau pasaran baharu bagi mengurangi impak kelembapan ekonomi dunia terutama penyusutan pertumbuhan ekonomi di China ketika ini.

Pengarah Urusannya, Mohd. Yunus Idris berkata, antara pasaran yang diberi tumpuan adalah Rusia selain Amerika Latin dan beberapa lagi negara lain.

"Kita tidak hanya boleh bertumpu kepada China, Amerika Syarikat dan Eropah sahaja, banyak lagi pasaran-pasaran lain di dunia yang mempunyai potensi yang tinggi, contohnya Rusia, kami telah meneroka pasaran sana menerusi keahlian Oneworld dan menyaksikan sambutan yang amat memberangsangkan," katanya semasa sidang akhbar selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Institut Kemahiran Mara (IKM) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ibrahim Ahmad.
Menurut Yunus, walaupun berdepan dengan persekitaran ekonomi yang tidak menentu, MASkargo optimis untuk merekodkan perolehan sebanyak RM2.45 bilion tahun ini berbanding RM2.4 bilion tahun lalu.
Jelasnya, dengan penggunaan empat pesawat Airbus A330-200F dan 747-400F membolehkan syarikat mengendalikan kira-kira 700,000 tan kargo setahun.

Beliau turut mengunjurkan prestasi kewangan yang lebih baik menjelang tahun 2015 untuk syarikat itu.
Menerusi MoU yang telah dimeterai hari ini, MASkargo akan menyediakan tempat latihan praktikal kepada 20 pelajar IKM.


Comments

Popular Posts