Siasatan terperinci di hangar
KOTA KINABALU 12 Okt. - Siasatan terperinci punca sebenar nahas pesawat Twin Otter MASwings di Kudat dekat sini, kelmarin yang mengorbankan dua orang termasuk pembantu juruterbang hanya dapat dimulakan selepas pesawat itu dibawa ke hangar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAK) dalam masa terdekat.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, proses menunda bangkai pesawat itu memakan masa kira-kira seminggu dan punca nahas hanya akan diketahui selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan.
Menurutnya, siasatan nahas itu akan merangkumi tiga aspek iaitu teknikal, operasi pengendalian dan keadaan cuaca semasa kejadian.
Siasatan itu tambah beliau, akan dikendalikan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Jabatan Penerbangan Awam dan Malaysia Airlines System Bhd., (MAS).
"Siasatan ini diharap berjalan lancar memandangkan juruterbangnya, Wan Mohd. Abdul Amir Wan Yahya yang mendapat rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) beransur pulih.
"Jadi, proses ini akan disiapkan secepat mungkin bagi mengelak berlakunya sebarang spekulasi," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa-mangsa nahas di HQE II di sini hari ini.
Dalam insiden kelmarin, pesawat jenis Twin Otter milik MASwings yang dinaiki 16 orang tergelincir dan terbabas semasa mendarat di Lapangan Terbang Kudat, mengorbankan dua orang termasuk pembantu juruterbang.
Kejadian berlaku ketika pesawat yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kudat itu dilaporkan terbabas semasa mendarat akibat angin kencang sebelum merempuh sebuah rumah penduduk di Kampung Sinsan yang terletak berhampiran lapangan terbang berkenaan.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya dimaklumkan oleh MASwings, syarikat penerbangan tersebut sedang dalam proses menukar pesawat Twin Otter kepada pesawat jenis Viking yang lebih canggih dan berteknologi tinggi.
"Saya ingatkan kepada mereka, walau canggih sekalipun tetapi perlu disesuaikan dengan dengan keadaan setempat termasuk cuaca dan bentuk muka bumi, diharap insiden ini akan membantu proses membuat pilihan terbaik," katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai LTAK yang sehingga kini menjadi satu-satunya lapangan terbang di negara ini yang masih belum dipasang sistem peralatan mendarat (ILS), Hishammuddin berkata, perkara tersebut sememangnya dalam perhatian pihak kementerian.
"Kes di Kudat ini akan dijadikan pengajaran dan tidak dianggap sebagai kes terpencil. Kita tidak mahu apabila ada kes-kes yang tidak diingini berlaku, baru kita mahu bertindak," katanya.
Comments