Dua maut, dua cedera parah


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa pesawat ringan milik MASwings dinaiki 16 orang yang terbabas merempuh rumah ketika mendarat di Lapangan Terbang Kudat, Sabah, semalam.

KUDAT 10 Okt. - Dua maut manakala dua lagi parah selepas sebuah kapal terbang jenis Twin Otter milik MASwings yang dinaiki 16 orang tergelincir dan terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Kudat di sini hari ini.

Mangsa yang maut ialah penumpang, Tan Ah Chai, 96, dan pembantu juruterbang, Marc Joseph Bansh, 23, manakala dua lagi mangsa yang cedera parah ialah Sue Isabella Abal, 26; dan Wan Ahmad Abdul Amir Wan Yahaya, 58, (juruterbang).

Ah Chai meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kudat pada pukul 5.25 petang manakala Joseph Bansh yang diterbangkan ke Hospital Queen Elizabeth meninggal dunia pukul 9.05 malam ini.

Antara mangsa yang cedera ringan dalam kejadian pukul 2.50 petang itu ialah Fauziah Pelimin, 32; Mohd. Raiyan Fatmi, 4; Nur Filzah Raudhah, 1; Merang Maharani, 54; Noorhazwin Sharom, 29; Chang Gee Keong, 29; Elranita John, 25; Junaini Bladi, 52; Erwan Shah Einin, 23; Lee Chee Kian, 39; Tan Kang Cheing.

Kejadian berlaku ketika pesawat yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kudat itu dilaporkan terbabas ketika mendarat akibat angin kencang sebelum merempuh sebuah rumah penduduk di Kampung Sinsan yang terletak berhampiran lapangan terbang berkenaan.

Pelanggaran tersebut menyebabkan bahagian hadapan pesawat berkenaan remuk teruk dan difahamkan penumpang hanya dapat dikeluarkan selepas enjinnya berhenti sendiri apabila kehabisan minyak bagi mengelak kejadian tidak diingini ekoran kipas yang masih berpusing.

Ketika kejadian penghuni rumah yang dirempuh, Suriyati Masair, 38, berada di rumah bersama anak bongsunya namun kedua-dua mereka terselamat.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Dawi Ossen berkata, mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kudat.

"Lima lagi mangsa termasuk juruterbang masih mendapatkan rawatan dan dilaporkan mendapat kecederaan serius tetapi berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kesemua penumpang dan krew kabin yang lain juga turut dibawa ke Hospital Kudat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Mohd. Affendy K. Ramin berkata, pihaknya telah menghantar sepasukan bomba dari Kudat ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.15 petang.

Katanya, terdapat tumpahan minyak di kawasan kejadian, bagaimanapun pihak bomba berjaya mengawalnya daripada tercetus kebakaran.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang dikenali sebagai Mas berkata, pesawat berkenaan tergelincir daripada laluan akibat angin kencang sebelum merempuh rumah yang berada di sebelah landasan berkenaan.
"Salah satu daripada sayap kapal terbang itu mengenai sebuah kereta yang diletakkan di garaj rumah berkenaan," ujarnya.

Malaysia Airlines (MAS) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini memberitahu, jumlah yang cedera ialah empat orang dan ketika kejadian terdapat sebanyak 16 penumpang dan krew dalam pesawat itu.
"Fokus syarikat penerbangan adalah memastikan keselamatan dan kebajikan penumpang, krew dan pihak-pihak lain yang terjejas.

"MAS bersama-sama MASwings akan memantau keadaan di tempat kejadian dan memaklumkan perkembangan terkini," menurut kenyataan itu sambil memberitahu pihaknya sedang menyiasat punca nahas.
Ini merupakan nahas pertama membabitkan MASwings di Kudat dan keluarga penumpang pesawat itu diminta menghubungi 03-78841234 untuk pertanyaan dan maklumat lanjut.



Comments