Arahan siasatan terperinci nahas pesawat MASwings

KOTA BHARU 11 Okt. - Bahagian Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan diarah bekerjasama dengan Jabatan Penerbangan Awam dan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menyiasat punca sebenar nahas pesawat Twin Otter MASwings di Sabah semalam, yang mengorbankan dua orang termasuk pembantu juruterbang.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berkata, beliau juga telah mengarahkan ketiga-tiga pihak supaya menjalankan siasatan dan menyerahkan segera laporan mereka mengenai nahas tersebut.

Selain itu kata Hishammuddin, beliau sendiri akan ke Sabah esok bagi melihat keadaan mangsa yang terselamat, selain berjumpa keluarga mangsa yang terkorban dan pihak terbabit dalam siasatan itu.
"Saya harap laporan punca kemalangan akan disampaikan secepat mungkin kepada saya. Setakat ini saya belum menerima laporan awal punca kemalangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas melancarkan Karnival Kedaulatan, Keselamatan dan Kesejahteraan Negara (4KN) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di sini. -



Comments