'Pesawat tersasar dipukul angin'
KUDAT 11 Okt. - "Keluar...!" jerit saya sekuat hati kepada semua penumpang setelah membuka tali pinggang seorang makcik di sebelah saya dan menarik kaki seorang kanak-kanak untuk menyelamatkannya."
Demikian situasi cemas diceritakan oleh Irwansyah Einin, 23, ketika pesawat jenis Twin Otter milik MASwings tergelincir dan terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Kudat di sini semalam.
Irwansyah merupakan seorang daripada penumpang pesawat itu memberitahu, dia berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu kecemasan di belakang tempat duduk pembantu juruterbang.
Katanya, selepas berjaya keluar, dia mengambil keputusan masuk kembali ke dalam pesawat untuk menyelamatkan juruterbang tetapi gagal.
"Saya tidak dapat mengeluarkan juruterbang kerana ruang yang sangat sempit menyebabkan tangan saya tidak dapat menjangkau atau memegang apa-apa.
"Bau minyak enjin yang menerpa hidung dan asap kelihatan dari tempat duduk juruterbang membuat saya terpaksa keluar.
"Saya yang berasa amat sedih sempat bercakap dalam hati, 'saya minta maaf, saya minta maaf, saya tak dapat selamatkan tuan', lalu saya keluar menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di Hospital Kudat di sini hari ini.
Menceritakan detik awal kejadian, Irwansyah berkata, penumpang dimaklumkan bahawa mereka akan mendarat namun roda pesawat tidak dapat menyentuh landasan lalu kapal terbang itu membuat cubaan mendarat kali kedua.
Katanya, ketika cubaan mendarat kedua, roda pesawat telah menyentuh landasan namun angin kuat menyebabkan pesawat tersasar ke sebelah kanan landasan.
Tambahnya, dia kemudian terasa roda pesawat telah melanggar sesuatu menyebabkan pesawat itu menegak sebelum senget ke kanan membuatkan sayap kanan melanggar pokok.
"Tidak terdengar sebarang jeritan kerana insiden berlaku dengan pantas. Cuma setelah saya menjerit agar semua keluar, barulah keadaan menjadi kelam-kabut," katanya.
Irwansyah yang merupakan kerani di sebuah syarikat swasta di Kota Kinabalu, dalam perjalanan balik ke Sandakan untuk menghadiri temuduga di Jabatan Kesihatan, Sandakan.
Dalam kejadian pukul 2.50 petang semalam, dua maut manakala dua lagi parah apabila pesawat dari Kota Kinabalu ke Kudat yang dinaiki 16 orang itu tergelincir dan terbabas akibat angin kencang sebelum merempuh sebuah rumah penduduk di Kampung Sinsan yang terletak berhampiran lapangan terbang berkenaan.
Mangsa yang maut ialah penumpang, Tan Ah Chai, 96, dan pembantu juruterbang, Marc Joseph Bansh, 23, manakala dua lagi mangsa yang cedera parah ialah Sue Isabella Abal, 26; dan Wan Ahmad Abdul Amir Wan Yahaya, 58, (juruterbang).
Comments