mangga add

Wednesday, October 16, 2013

Malaysia Airlines sedih kematian kru, penumpang

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Malaysia Airlines (MAS) meluahkan rasa sedih atas kematian pembantu juruterbang MASwings, Marc Joel Bansh, 22 dan penumpang Tan Ah Chai, 96, susulan nahas pesawat Twin Otter milik MASwings di Kudat semalam.

MAS dalam kenyataan hari ini berkata, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan yang juga Pengerusi MASwings Ahmad Jauhari Yahya sudah menziarahi semua mangsa yang dirawat di hospital di Kudat bagi memastikan kebajikan mereka dijaga.

Pesawat malang itu membawa 16 orang termasuk kru dan daripada jumlah itu 15 ialah rakyat Malaysia manakala seorang lagi warga Filipina.

Nahas berlaku dalam kawasan Lapangan Terbang Kudat pada pukul 2.50 petang semalam ketika pesawat yang dikemudi oleh Kapten Wan Mohd Abd Amir Wan Yahya bersama-sama Marc Joel sedang melakukan pendaratan.

Menurut kenyataan itu pesawat tersebut berada dalam keadaan baik sebelum nahas berlaku.
Punca kejadian masih belum dapat dipastikan dan MAS bersama-sama MASwings akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan, kata kenyataan itu.
"Malaysia Airlines juga melakukan segala yang mampu untuk membantu pihak terjejas menghadapi tempoh sukar ini," kata kenyataan itu.



No comments: