MASWings sedia beri pampasan



AHMAD Jauhari Yahya (dua dari kanan) meninjau lokasi kejadian pesawat ringan milik Maswings yang terbabas merempuh rumah di Kampung Sinsan ketika mendarat di lapangan Terbang Kudat, kelmarin.

KOTA KINABALU 11 Okt. - Syarikat penerbangan MASwings Sdn. Bhd. (MASWings) sedia menimbangkan cadangan pemberian pampasan kepada keluarga mangsa nahas pesawat Twin Otter yang terbabas di Lapangan Terbang Kudat, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines merangkap Pengerusi MASWings, Ahmad Jauhari Yahya berkata, pihaknya sedia menghulurkan apa juga bantuan kepada mangsa dan keluarga mereka yang terlibat dalam insiden itu.

''Keutamaan kami ialah membantu kebajikan penumpang, krew dan mereka yang mengalami tempoh yang sukar ketika ini akibat nahas pesawat itu.

''Pasukan Go Team kami di Kudat akan memantau situasi di situ dan memberikan perkhidmatan yang mereka perlukan," katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri agar MASwings memberikan pampasan kepada mangsa dan keluarga mereka yang terjejas akibat insiden itu.

Ditanya mengenai pesawat itu sebelum berlepas, beliau mengesahkan bahawa keadaan pesawat Twin Otter tersebut berada dalam keadaan baik dan sesuai untuk melakukan penerbangan.

Katanya, terdapat lima pesawat jenis Twin Otter milik syarikat penerbangan itu beroperasi di Sabah.
Sementara itu di Kota Bharu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengarahkan bahagian Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan bekerjasama dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airlines (MAS) supaya menjalankan siasatan dan menyerahkan segera laporan mereka mengenai nahas tersebut.

Selain itu, beliau sendiri akan ke Sabah esok bagi melihat keadaan mangsa yang terselamat, selain berjumpa keluarga mangsa yang terkorban dan pihak terbabit dalam siasatan itu.
"Saya harap laporan punca kemalangan akan dapat disampaikan secepat mungkin dan setakat ini saya belum menerima laporan awal punca kemalangan," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas melancarkan Karnival Kedaulatan, Keselamatan dan Kesejahteraan Negara (4KN) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di Kota Bharu.
Pada majlis itu, Hishammuddin turut menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 25 penerima dan sumbangan peralatan pesakit kepada bekas perajurit, selain menyerahkan replika cek sumbangan Kempen Tabung Pahlawan 2013.


Comments

Popular Posts