mangga add

Wednesday, October 16, 2013

KLIA2 beroperasi 2 Mei, 2014 seperti dirancang

SEPANG 16 Okt. - Klia2, lapangan terbang dibina khas terbesar dunia untuk syarikat penerbangan tambang rendah, telah 94 peratus siap dan dijadualkan dibuka pada tarikh akhirnya 2 Mei, 2014.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Abd. Hamid Mohd Ali berkata, bangunan terminal telah pun siap 99 peratus dan "kini di peringkat akhir kerja".

MAHB menjangkakan 80 peratus kadar penghunian pada hari pertama operasi, kata beliau kepada media selepas penyampaian penghargaan konsep jenama cemerlang di KLIA2 kepada rakan perniagaan komersil oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi di sini hari ini.

Abd. Hamid berkata, 33 peratus daripada penender yang berjaya untuk lot runcit sama sekali baharu kepada persekitaran komersil lapangan terbang tempatan.

Beliau berkata, MAHB juga mencatatkan 40 peratus penender Bumiputera berjaya, komposisi tertinggi dalam kompleks runcit pada masa ini, "oleh itu, kami telah memperoleh gabungan seimbang jenama tempatan dan antarabangsa."

Abdul Aziz berkata, memandangkan lapangan terbang itu telah bersedia untuk memulakan operasi pada Mei, beliau yakin menjelang Disember tahun ini, "kesemua peruncit boleh masuk dan buat pengubahsuaian dan hiasan semula ke atas ruang kedai mereka."

"Rakan perniagaan akan diberikan dua atau tiga bulan untuk menyiapkan pengubahsuaian. Pemeriksaan akhir akan dilakukan pada 15 Mac, 2014 bagi membolehkan lapangan terbang itu memulakan operasi pada 2 Mei seperti dirancangkan.

"Apabila beroperasi kelak, klia2 akan mengendalikan sehingga 45 juta pengguna dan ini mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab penerbangan pesat berkembang di rantau ini," kata beliau.
Mengenai kemalangan pesawat Twin Otter MASWings di Kudat, Sabah, Khamis lepas, Abdul Aziz berkata, kementerian belum lagi menerima laporan penuh mengenai insiden itu.

"Setakat ini, kami belum menerima apa-apa lagi. Kemalangan ini masih lagi disiasat oleh Jabatan Penerbangan Awam," tambah beliau.

Seorang pembantu juruterbang dan seorang penumpang terbunuh dalam insiden berkenaan. - BERNAMA



No comments: