Jantung saya seperti hendak luruh - Jainah
KUDAT 11 Okt. - "Masa itu (ketika pesawat terbabas) saya bersama anak saudara sedang menonton televisyen.
"Tiba-tiba kami mendengar bunyi yang amat kuat dan bising menyebabkan jantung saya terasa hendak luruh," demikian detik cemas diceritakan oleh Jainah Jalil, 39.
Jainah merupakan seorang saksi kejadian pesawat jenis Twin Otter milik MASWings yang tergelincir dan terbabas di Lapangan Terbang Kudat sebelum merempuh sebuah rumah di Kampung Sinsan berhampiran dengan lapangan terbang berkenaan di sini semalam.
Menurutnya, dia yang berlari keluar ke halaman rumah untuk memeriksa apa berlaku terkejut melihat sebuah pesawat betul-betul berada di halaman rumah jirannya dengan bunyi bising yang berterusan sehingga hampir sejam.
Disebabkan panik, dia segera membawa anak saudaranya lari ke belakang rumah kerana bimbang pesawat itu meletup ekoran bau minyak yang kuat dan ada sedikit asap keluar dari muncung pesawat.
"Saya lihat semua mangsa dibawa keluar dan dibaringkan di kaki lima rumah jiran saya itu sementara menunggu kedatangan ambulans," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jainah yang berasal dari Tenom secara kebetulan menyaksikan kejadian cemas itu kerana mengunjungi kakaknya yang tinggal di Jalan Sin San 1 iaitu kira-kira 100 meter dari tempat insiden berlaku.
Menurutnya lagi, dia hanya berani melihat kejadian itu dari dapur rumah kerana benar-benar bimbang pesawat akan meletup memandangkan ia mengeluarkan bunyi ganjil yang amat membingitkan.
Comments