Airbus perkukuh kedudukan di Malaysia

Airbus perkukuh kedudukan di Malaysia

SEPANG 2 Okt. - Pengeluar utama pesawat Eropah, Airbus berhasrat mengukuh kedudukannya di Malaysia dan rantau ini menerusi penubuhan unit penyenggaraan dengan kerjasama Sepang Aircraft Engineering (SAE) dan pusat perkhidmatan pelanggan baharu di sini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fabrice Bregier berkata, pusat penyenggaraan yang beroperasi di hangar baharu dekat SAE itu dikhususkan untuk menyenggara dan membaik pulih pesawat Airbus di lorong tunggal dengan keluasan lantai 13,000 meter persegi.

Menurutnya, kewujudan hangar itu mampu menampung sehingga tiga pesawat Famili A320 bagi melakukan pemeriksaan penyenggaraan utama.

"Ini merupakan tambahan kepada hangar sedia ada yang boleh menampung enam pesawat lorong tunggal dan dalam masa sama, bangunan ini juga dilengkapi bengkel berteknologi tinggi bagi membaiki pelbagai komponen pesawat Airbus termasuk sistem hidraulik dan pneumatik," katanya.
Beliau berucap dalam majlis pelancaran Peluasan Pusat MRO Sepang Aircraft Engineering (SAE) di sini hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Breiger, penubuhan pusat perkhidmatan pelanggan baharu bersebelahan SAE merupakan sebahagian usaha mewujudkan perkhidmatan rangkaian global pengeluar dalam kejuruteraan pesawat dan pembaikan selama 24 jam sehari.
Katanya, kemudahan tersebut yang kelima di seluruh dunia selepas Toulouse, Hamburg, Wichita dan Beijing akan dimiliki sepenuhnya Airbus.
Tambah beliau, pusat itu dijangka mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 100 jurutera dan mekanik mahir.
"Inisiatif ini mencerminkan potensi besar perkembangan industri aeroangkasa di Asia Tenggara dan dengan pasukan bakat-bakat yang mahir, mutu kerja berkualiti dan kadar kos yang berdaya saing, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang paling sesuai sebagai rakan kongsi utama Airbus," katanya.
Menurut beliau, kemudahan itu juga akan menyokong strategi syarikat tersebut meluaskan pasaran antarabangsa dengan mendirikan tapak perkhidmatan sokongan yang lebih dekat dengan pangkalan operator pesawat mereka.



Comments