MAS digesa sambung kembali laluan ke Newark


NEW YORK 20 Okt. - Rakyat Malaysia yang menetap di pantai timur Amerika Syarikat (AS) menggesa Malaysia Airlines (MAS) menyambung semula penerbangan terus ke wilayah itu.

MAS menggantung penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty New Jersey beberapa tahun lepas, dan sejak itu rakyat Malaysia di wilayah itu merasakan mereka 'terputus hubungan' dengan tanah air.

Pada masa ini, pengguna yang mahu mengunjung Malaysia terpaksa menggunakan perkhidmatan udara trans-Atlantic dari New York atau New Jersey menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan lain seperti Singapore Airlines, Emirates, Etihad, Qatar Airways atau Air India.

Penerbangan ke Kuala Lumpur pula perlu melalui penyambungan lain yang mengambil masa menunggu yang lama, atau mengambil penerbangan lima jam ke Los Angeles dan menaiki pesawat MAS terus ke Kuala Lumpur, selepas menunggu beberapa jam.

Ketiadaan perhubungan terus itu juga menjejaskan usaha menarik pelancong AS ke Malaysia.
"Ramai rakyat Malaysia merasakan bumi Malaysia semakin jauh. Selain perkhidmatan udara yang sukar, ia mengambil masa yang lebih lama serta kos yang tinggi," kata Paramjeet Singh, perunding kewangan Malaysia yang berpejabat di Pennsylvania.

Pada lawatan promosi ke New York baru-baru ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah dimaklumkan mengenai masalah itu oleh operator pelancongan serta ejen pengembaraan.

Nazri memberitahu Bernama bahawa beliau akan berbincang dengan MAS mengenai prospek menyambung semula perkhidmatan Newark-Dubai-Kuala Lumpur, sambil mengakui penerbangan terus dari pantau timur AS mampu menarik lebih ramai pelancong, selain menjana perolehan.

Presiden Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia, Sam Chin juga berkata, beliau mahu MAS kembali beroperasi di laluan itu.
"Ketiadaan penerbangan terus juga memaksa pengguna ke Malaysia menggunakan syarikat penerbangan lain yang merugikan negara," katanya.

Comments

Popular Posts