Airbus bakal pintas Boeing menjelang 2018
BERLIN 13 Okt. - Pembuat kapal terbang Eropah, Airbus bakal memintas pesaingnya dari Amerika Syarikat, Boeing dengan menjadi pengeluar kapal terbang utama dalam masa empat ke lima tahun akan datang, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Fabrice Bregier.
Bregier yang berkata demikian dalam temu bual dengan akhbar German, Welt am Sonntag memberitahu, Airbus akan meningkatkan pengeluaran melalui model baharu, A320Neo dan model jarak jauh A350.
"Pada 2017 dan 2018, kami sekali lagi akan menerajui dalam penghantaran pesawat," katanya.
Beliau memberitahu, Airbus akan menghantar lebih 600 buah pesawat tahun ini dan lebih banyak tahun depan dan dari segi tempahan pula sudah melebihi sasaran.
"2013 adalah tahun yang cemerlang kepada Airbus," ujarnya baru-baru ini.
Minggu lalu, Airbus mengumumkan perjanjian bernilai AS$9.5 bilion (RM30.1 bilion) dengan Japan Airlines, tempahan jet pertamanya daripada syarikat penerbangan tersebut.
Perkembangan itu mencabar dominasi Boeing di pasaran Jepun terutamanya ketika sedang bergelut dengan pesawat Dreamliner yang bermasalah.
Pesawat yang menjimatkan itu menghadapi penangguhan operasi global pada Januari lalu selepas bateri litium-ion terlebih panas pada dua buah pesawat berbeza, salah satu daripadanya terbakar semasa pesawat tersebut di kawasan parkir. -AFP
Comments