AirAsia tempah 200 pesawat Airbus

KUALA LUMPUR 23 Jun - AirAsia menempah 200 pesawat A320 dari Airbus yang juga merupakan tempahan terbesar yang pernah dibuatnya.

Ini sekali gus menjadikan syarikat penerbangan tambang murah itu sebagai pelanggan Airbus terbesar bagi pesawat lorong tunggal di seluruh dunia.

AirAsia dalam kenyataannya di sini berkata, pesawat A320neo tersebut menggunakan enjin LEAP-X baru dari CFM International.

Dengan ini, AirAsia telah menempah sejumlah 375 buah pesawat dari keluarga A320 di mana 89 buah telah digunakan dalam perkhidmatan rangkaian pan-Asia yang pesat mengembang bagi syarikat penerbangan ini.

Di samping itu, syarikat sekutu penerbangan jauh, AirAsia X juga merupakan pelanggan Airbus telah menempah 38 pesawat badan lebar.

"Keputusan kami menjadi di antara pelanggan terawal A320neo akan memastikan kami kekal menerajui industri ini, dengan salah satu rangkaian pesawat yang terbaru lagi termoden di dunia."" kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes semasa mengumumkan pemeteraian perjanjian tersebut di Pameran Udara Paris hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Tom Enders pula berkata, perjanjian itu adalah satu pengiktirafan kepada mereka yang melabur dalam pembangunan A320neo.

Ia juga mengukuhkan lagi kedudukan Airbus sebagai pengeluar pesawat lorong tunggal.

Pesawat-pesawat A320neo dipasang dengan enjin-enjin baru dan peralatan hujung sayap yang besar yang dipanggil 'sharklets'.

Ia mampu memberi penjimatan bahan api sehingga 15 peratus serta tambahan keupayaan jarak penerbangan sejauh 500 batu nautika (950 kilometer).

Pesawat itu juga berkeupayaan membawa lebih dua tan bebanan pada sesuatu masa.

Comments

Popular Posts