Mendekati industri penerbangan
Pelajar menggunakan alat simulator penerbangan di Pusat latihan Felda Kertih, baru-baru ini.
DUNGUN 6 Jun – Raut wajah yang menggambarkan keterujaan jelas kelihatan apabila anak-anak peneroka Felda menunggu giliran untuk mencuba menerbangkan ‘pesawat’ di tengah kawasan ladang.
Ia sebenarnya bukan realiti tetapi alat simulasi penerbangan seakan sama dengan alatan kokpit kendalian juruterbang semasa menerbangkan pesawat membelah angkasa.
Mereka kini boleh mengimpikan ia boleh menjadi kenyataan kelak sekiranya mempunyai cita-cita dengan berusaha memajukan diri dalam pelajaran bagi meneroka pelbagai kerjaya dalam industri penerbangan.
Mereka didedahkan dengan alatan itu bagi mengisi sebahagian daripada Program Simulasi Penerbangan Felda yang merupakan satu mekanisme pihak penganjur untuk memupuk minat di kalangan warganya khususnya generasi kedua dan ketiga dalam bidang itu.
Penganjuran dua hari di Pusat Latihan Felda Kertih itu merupakan kerjasama antara Yayasan Felda, Felda Wilayah Terengganu dan Infotech Quest Sdn. Bhd. bagi memberi pendedahan awal berkaitan kerjaya sebagai juruterbang dan persediaan yang perlu dilakukan.
Pengerusi Yayasan Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, program itu sebahagian daripada rancangan untuk membangunkan potensi generasi baru dan peluang kepada masyarakat Felda memacu kecemerlangan dalam segenap aspek.
Katanya, Yayasan Felda telah melantik sebuah konsultan sejak setahun lalu untuk mengadakan sesi pendedahan kerjaya penerbangan khusus kepada anak-anak Felda yang berminat dengan bidang itu.
“Syarikat terbabit iaitu Infotech Quest Sdn. Bhd. dari Ampang Jaya, Selangor telah memberi latihan menggunakan simulator penerbangan sehingga 10 jam kepada golongan sasaran.
“Sehingga kini, kira-kira 4,000 pelajar telah terbabit dengan program itu dan latihan mengenainya kini dijalankan di Asrama Felda Semai Bakti, Kuala Lumpur dengan menggunakan lapan buah alat simulator penerbangan yang setiap satunya berharga RM100,000,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu baru-baru ini.
Tambah Mohd. Yusof, setelah Yayasan Felda memikirkan ada keperluan untuk berkongsikan perkara bermanafaat itu kepada warga Felda yang lain di seluruh negara, ia mula digerakkan ke tanah rancangan Felda dan Terengganu menjadi destinasi pertama.
Selepas ini kata Penasihat Felda Jabatan Perdana Menteri itu, program serupa akan digerakkan ke Johor, Kelantan dan Perak bagi memastikan generasi baru Felda didedahkan dengan pelbagai bidang profesional.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Infotech Quest Sdn. Bhd., Raja Zulkifli Raja Ahmad berkata, simulasi penerbangan adalah sebuah sistem untuk mewujudkan gambaran penerbangan dalam sebuah pesawat terbang.
Katanya, simulasi berkenaan lebih menarik minat kerana saiz dan kedudukan program aplikasi komputer itu hampir sama dengan kokpit dalam sesebuah pesawat dan ia tidak sama dengan permainan elektronik.
“Apa yang kita bawakan ke tanah rancangan Felda pada hari ini adalah kaedah sama yang digunakan dalam latihan industri penerbangan untuk melatih juruterbang, simulasi bencana dan pengendalian sesebuah pesawat.
“Teknik simulasi yang didedahkan kepada masyarakat Felda sama seperti dalam industri penerbangan sebagai acuan untuk beberapa fungsi seperti pengujian pesawat dan latihan awal yang dijalankan oleh bakal juruterbang,” katanya.
Dalam program itu, empat buah alat simulator penerbangan ditempatkan di dewan pusat latihan itu dan dikendalikan oleh lima juruterbang berpengalaman.
Selain pelajar sekolah dan penuntut institusi kemahiran dan pengajian tinggi, ibu bapa tidak melepaskan peluang melihat sendiri pengalaman yang jarang-jarang diperolehi itu.
Selain itu, kata Raja Zulkifli, program tersebut telah banyak memberi kefahaman kepada anak muda dan si cilik mengenai persiapan yang perlu dilakukan sebelum melangkah ke kerjaya itu.
“Kami mahu menanam minat lebih awal dengan persiapan seperti penguasaan bahasa Inggeris dan matematik di peringkat sekolah, tahap kesihatan dan disiplin yang tinggi.
“Jika mereka benar-benar berminat, persiapan ini dilakukan lebih awal. Ibu bapa juga diberitahu tentang perkara ini untuk kebaikan anak mereka kelak,” ujarnya.
Selain itu, beberapa bahan bacaan dan jadual turut dipamerkan bagi menunjukkan kerjaya penerbangan begitu luas untuk diterokai seperti kejuruteraan, keselamatan, teknologi alam sekitar dan pengurusan logistik lapangan terbang.
Pengunjung turut didedahkan dengan komponen sesebuah pesawat penerbangan, fungsi dan peranan setiap petugas di dalam pesawat serta pengendalian di sesebuah landasan kapal terbang termasuk aspek kecemasan.
Comments