Keuntungan industri penerbangan susut

Keuntungan dalam industri penerbangan dunia dijangka merosot ekoran masalah kenaikan harga minyak, bencana alam dan keganasan politik pada tahun ini. – afp

KUALA LUMPUR 6 Jun – Keuntungan industri penerbangan dunia dijangka jatuh 78 peratus kepada AS$4 bilion (RM12 bilion) tahun ini, berbanding AS$18 bilion (RM54 bilion) tahun lalu, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Kejatuhan berkenaan disebabkan oleh bencana alam semula jadi, keganasan politik dan kenaikan harga minyak.

Ketua Pengarahnya, Giovanni Bisignani berkata, pada Mac lalu IATA menjangkakan industri penerbangan akan mencatatkan keuntungan sebanyak AS$8.6 bilion (RM25.8 bilion) namun meleset.

“Bencana alam di Jepun, kekacauan di Timur Tengah dan Afrika Utara serta peningkatan mendadak harga minyak telah menafikan jangkaan keuntungan tersebut.

“Tiada keuntungan besar dapat dibuat dengan kejutan yang berlaku tahun ini.

“Harga minyak yang meningkat kepada AS$115 (RM345) setong bulan lalu berbanding AS$84 (RM252) setong pada Februari merupakan halangan terbesar yang perlu ditempuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bil penggunaan minyak industri penerbangan dijangka meningkat sebanyak AS$10 bilion (RM30 bilion) tahun ini kepada AS$176 bilion (RM528 bilion).

Kos bahan bakar menyumbang lebih 30 peratus kepada kos keseluruhan industri penerbangan ketika ini, berbanding 13 peratus pada 2001.

Industri penerbangan berharap agar ekonomi antarabangsa kembali pulih bagi mengimbangi peningkatan harga minyak.

Sementara itu, jumlah penumpang dijangka meningkat 4.4 peratus tahun ini manakala perkhidmatan kargo juga meningkat 5.5 peratus namun kedua-duanya masih di bawah jangkaan awal IATA.

“Risiko utama jangkaan awal kami adalah kelemahan pertumbuhan ekonomi dunia dan menjangkakan kejatuhan kecil margin keuntungan iaitu sebanyak 0.7 peratus tahun ini dengan perolehan jangkaan sebanyak AS$598 bilion (RM1.8 trilion),” jelasnya. -Agensi

Comments