Kerja naik taraf landasan LTSAS siap tahun depan

IPOH 23 Jun - Kerajaan sedang menaik taraf landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Azlan Shah (LTSAS) sepanjang 2,000 meter bagi menjadikan LTSAS sebagai hab penerbangan domestik di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, langkah itu bagi membolehkan pelancong menggunakan kemudahan penerbangan untuk datang ke negeri ini.

"Projek berkenaan dijangka siap pada tahun depan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Hartanah, Perindustrian dan Perabot (Mapex 2011) di Stadium Indera Mulia di sini.

Pada November 2009, Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM60 juta bagi memanjangkan landasan LTSAS dari 1,800 meter kepada 2,000 meter dan menaik taraf kemudahan di Kompleks Kastam serta pengangkutan awam di sekitar kawasan LTSAS itu.

Sekarang ini, hanya dua syarikat penerbangan iaitu Firefly dan Riau Airlines yang beroperasi di LTSAS selepas AirAsia menggantung penerbangan pada 2006 kerana lapangan terbang tersebut tidak dapat menampung pendaratan pesawat Airbus A320.

Hang Soon berkata, Kementerian Pengangkutan sedang berbincang dengan Syarikat firefly Sdn. Bhd., untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan dari LTSAS di sini ke Kota Bahru dan Phuket di Thailand tidak lama lagi.

Kata beliau, syarikat itu sedang menjalankan dua penerbangan sehari dari sini ke Singapura.

Comments