MAS luaskan perniagaan

SINGAPURA 6 Jun - Malaysian Airlines System Bhd. (MAS) akan menyertai perikatan syarikat penerbangan dunia, Oneworld sebagai salah satu langkah memperluaskan perniagaannya dengan rakan kerjasama pesaing.

''Kami melihat kerjasama itu akan memperbaiki lagi perniagaan kami,'' kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian sewaktu menyertai majlis anjuran Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Tambah Tengku Azmil Zahruddin, pihaknya melihat Oneworld merupakan rakan sekutu terbaik bagi syarikat dan ia akan mewujudkan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak iaitu ahli Oneworld dan MAS.

MAS dijangka secara rasmi menyertai perikatan itu dalam tempoh 18 bulan akan datang, menurut kenyataan yang diterbitkan oleh Oneworld.

Tengku Azmil Zahruddin memberitahu, dengan fokus industri penerbangan global terus meningkat kepada perikatan, MAS telah melaksanakan satu analisis yang berhati-hati terhadap pilihan yang ada terhadapnya.

Beliau berkata, masanya sudah pasti tepat untuk syarikat menyertai antara kumpulan penerbangan terkemuka dunia, dan Oneworld jelas merupakan pilihan terbaik.

''Dengan syarikat memberi tumpuan jitu kepada perkhidmatan berkualiti, kami begitu berbangga kerana telah dipelawa menyertai perikatan berkualiti tinggi ini dengan rakan syarikat penerbangan terbaik menawarkan rangkaian global yang melengkapi dengan sesuai apa yang kami ada,'' ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi MAS, Tan Sri Dr Munir Abdul Majid dalam satu kenyataan hari ini berkata: "Pihak Lembaga MAS telah mensasarkan kemasukan ke dalam perikatan itu tahun ini.

''Saya gembira yang kami berada di peringkat di mana pengenalan dengan Oneworld telah diformalisasikan,'' katanya.

Pengerusi dan Ketua Eksekutif American Airlines Gerard Arpey, Pengerusi Lembaga Pemantauan Oneworld, menyifatkan perjanjian hari ini dengan MAS sebagai mewakili satu lagi kejayaan penting dalam perjalanan untuk mengukuhkan lagi Oneworld sebagai perikatan utama dunia.

Seiring dengan persediaan sebagai ahli perikatan itu, MAS berhasrat memajukan hubungan dua hala dengan rakan-rakan terkemuka Oneworld termasuklah beberapa nama besar dan terbaik dalam industri penerbangan.

Ia sudahpun mempunyai perkongsian kod dengan rakan-rakan Oneworld, Cathay Pacific dan Royal Jordanian.

Jika ia menjadi sebahagian daripada Oneworld, pelanggannya akan mendapat akses ke rangkaian global sebenar perikatan itu.

Ia akan mengembangkan liputan global Oneworld kepada hampir 950 destinasi di 150 negara, dengan perkhidmatan gabungan lebih daripada 2,600 pesawat yang mengadakan perkhidmatan penerbangan 10,000 sehari dan membawa 358 juta penumpang setahun.

Pada masa ini, tiga syarikat penerbangan iaitu ahli kepada Oneworld mengadakan penerbangan ke Malaysia dengan Cathay Pacific, Japan Airlines dan Royal Jordanian manakala Cathay Pacific juga ke Pulau Pinang dan menerusi sekutunya Dragonair, ke Kota Kinabalu.

Comments

Popular Posts