AirAsia X mula tawaran IPO suku pertama tahun hadapan



Rafidah Aziz (lima dari kiri) bersama sebahagian krew AirAsia menunjukkan tanda 5 pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Air Asia X kelima di Terminal Penerbangan Tambah Murah di Sepang semalam. - utusan/HANAFI KHAMIS

SEPANG 2 Nov. - Syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh, AirAsia X Bhd. (AirAsia X) merancang membuat tawaran awam permulaan (IPO) pada suku pertama tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azran Osman-Rani berkata, kertas kerja berkaitan penawaran itu telah dihantar baru-baru ini dan pihaknya sedang menunggu kelulusan kawal selia daripada Suruhanjaya Sekuriti selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

"Kami menjangkakan kelulusan itu akan diperoleh pada pertengahan bulan depan jika semuanya berjalan dengan lancar dan kemudian ia boleh mula ditawarkan pada Januari atau selepas berakhirnya pilihan raya umum tahun hadapan," katanya selepas meraikan sambutan kelima AirAsia X di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz, Pengerusi Gold Coast Tourism, Paul Donovan dan Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB), Tan Sri Bashir Ahmad.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan syarikat penerbangan tambang murah itu bakal melantik tiga bank untuk menguruskan cadangan IPO di Malaysia di mana dijangka meraih hasil sebanyak AS$250 juta (RM762.50 juta) daripada cadangan berkenaan.
Laporan itu menyebut tiga bank yang dilantik itu ialah Maybank Investment Bank, CIMB Investment Bank dan Credit Suisse.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perancangan masa depan syarikat penerbangan tambang murah itu, beliau berkata, syarikat merancang menambah sebanyak 14 pesawat lagi dalam tempoh dua tahun, bermula tahun hadapan.

Katanya, sehingga kini seramai lapan juta penumpang telah menggunakan penerbangan tersebut di 12 destinasi meliputi Australia, Taiwan, Jepun, Korea, China dan Nepal dalam tempoh lima tahun beroperasi.
"Untuk tahun ini sahaja kami menyasarkan seramai 2.8 juta penumpang menggunakan penerbangan kami dan sasaran itu akan bertambah pada tahun-tahun berikutnya dengan penambahan pesawat baharu," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai Malindo Airways yang akan memulakan operasinya Mei tahun depan, Azran berkata, pihaknya berkeyakinan penuh mampu terus mengekalkan prestasi di tahap terbaik dan dapat menarik keyakinan penumpang.

"Kami mempunyai rekod yang baik malah selama empat tahun memenangi anugerah syarikat penerbangan terbaik, syarikat yang baru ditubuhkan tidak boleh berbuat demikian dalam tempoh satu malam sahaja dan mereka semestinya sukar untuk mengejar kami.

"Biarpun syarikat lain boleh meniru laluan yang telah diperkenalkan oleh AirAsia tetapi mereka belum tentu mampu menandingi keupayaan syarikat kami dalam mewujudkan keserasian dalam pentadbiran, keupayaan dan servis khidmat pelanggan. Semua ini memerlukan masa yang panjang untuk dibina," katanya.
Mengulas mengenai pemindahan operasi syarikat itu ke klia2 pada tahun hadapan, beliau berkata, langkah itu bakal menjadi pengalaman yang hebat kepada syarikat itu berdasarkan keupayaannya beroperasi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.


Comments