Pesawat A380 ketiga MAS selamat tiba



PESAWAT Airbus A380 Malaysia Airlines.


KUALA LUMPUR 15 Nov. - Pesawat ketiga Airbus A380 Malaysia Airlines (MAS) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 9.35 pagi hari ini.
Difahamkan, pesawat ketiga MAS yang diterbangkan dari Toulouse, Perancis itu akan menjalani persediaan terakhir di KLIA untuk operasi penerbangan komersial.

Pegawai Perhubungan Awam MAS, Adlina Azharuddin berkata, syarikat penerbangan negara itu akan menerima pesawat Airbus A380 keempatnya pada akhir minggu ini.
"MAS akan menggunakan kedua-dua pesawat yang dilengkapi 494 tempat duduk ini untuk memulakan penerbangan siang dari KLIA ke London Heathrow berkuatkuasa 24 November.

"Penerbangan MH4 akan berlepas dari KLIA pada pukul 10.45 pagi setiap hari dan tiba di London Heathrow hari sama pada pukul 4.15 petang. Penerbangan balik MH1 berlepas London setiap hari pada pukul 10.00 pagi dan tiba di KLIA keesokan harinya pada pukul 6.20 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, perkhidmatan itu akan melengkapkan perkhidmatan penerbangan A380 MAS pada waktu malam bagi United Kingdom iaitu MH2 yang berlepas dari KLIA pada pukul 11.40 malam dan tiba di London pukul 5.50 pagi hari yang berikutnya serta penerbangan balik MH3 dari London pukul 12.00 tengah hari dan tiba di KLIA pukul 7.25 pagi keesokan harinya.

Katanya, dengan pengenalan perkhidmatan A380 dua kali sehari itu, MAS akan menghentikan operasi-operasi penerbangan B747-400 dengan 359 tempat duduk antara KLIA dan London.
"Dengan penerbangan dua kali sehari, ia menjadikan MAS sebagai satu-satunya perkhidmatan pengangkutan penuh yang menawarkan perkhidmatan terus antara Malaysia dan United Kingdom itu serta dapat memperbaiki kapasiti tempat duduk mingguan sebanyak 37 peratus untuk kedua-dua laluan," jelasnya.
Tambahnya, MAS merupakan pengendali kelapan pesawat baru ini dan akan menerimanya baki dua lagi pesawat tersebut pada suku pertama 2013.



Comments

Popular Posts