MASwings tambah pesawat di Sarawak
MIRI 17 Nov. - Sarawak dijangka menerima beberapa buah pesawat baru dan lebih moden selewat-lewatnya pertengahan tahun depan sebagai alternatif kepada pesawat jenis Twin-Otter yang digunakan sekarang untuk penerbangan domestik terutama di kawasan pedalaman.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang (gambar) berkata, perincian tentang rancangan tersebut bagaimanapun tidak dapat didedahkan kerana pihaknya masih menanti keputusan akhir pihak pengurusan anak syarikat Malaysian Airline System Bhd. (MAS), MASwings Sdn. Bhd.
"Apa yang boleh dinyatakan, pesawat tersebut lebih moden, mengutamakan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan kepada penumpang serta amat sesuai untuk penerbangan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
"Kita harap MAS dapat memberi keputusan secepat mungkin kerana kita melihat penggunaan pesawat baru ini amat penting dalam usaha menaik taraf kemudahan pengangkutan luar bandar di samping merancakkan industri pelancongan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama pengurusan MASwings di Lapangan Terbang Miri di sini semalam.
Berhubung keluhan penduduk yang mendakwa penerbangan ke Long Lelang, Bario, Long Banga, Long Seridan dan Long Akah yang terhad, Jabu berkata, beliau menyarankan pihak MASwings mencari jalan mengatasi masalah tersebut.
"Hasil perbincangan, kita akui perkhidmatan yang ditawarkan agak terhad dan jumlah penumpang semakin meningkat terutamanya musim cuti dan hujung minggu," katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengulas tentang pesawat Twin-Otter (DHC6) milik MASwings yang tergelincir semasa mendarat di Lapangan Terbang Marudi baru-baru ini.
"Diharap anda semua tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat punca sebenar kejadian tersebut.
"Buat masa ini, pesawat berkenaan masih diperbaiki dan dijangka beroperasi semula seperti biasa pertengahan tahun depan," katanya.
Comments