Pendapatan AirAsia RM1.24 bilion suku ketiga
KUALA LUMPUR 31 Okt. - AirAsia dijangka mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi berjumlah RM1.24 bilion dalam suku ketiga ekoran anggaran hasil yang lebih tinggi sebanyak enam peratus tahun ke tahun dan berikutan penarikan diri Malaysia Airlines (MAS) dari ruang penerbangan tambang murah.
OSK Research Sdn. Bhd. berkata, perangkaan suku ketiga bagi AirAsia boleh dibanggakan, meskipun operasinya di Indonesia melaporkan perangkaan yang tidak banyak berubah, kerana ia mengendalikan bilangan pesawat yang lebih kecil dengan satu pesawat kurang berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
"Lalu lintas AirAsia Malaysia bagi sembilan bulan setakat ini lebih baik sedikit daripada ramalan kami iaitu sebanyak 74 peratus daripada pendapatan penumpang KM (RPK) setahun penuh berbanding 73 peratus dalam tempoh yang sama sebelumnya.
"Ini mungkin disebabkan oleh tumpuannya kepada pemendekan jarak penerbangan purata," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Bagi perniagaan AirAsia di Indonesia dan Thailand, firma penyelidikan itu berkata, angka-angka itu juga adalah sejajar dengan ramalannya.
"Jarak penerbangan purata bagi ketiga-tiga pesawat masing-masing adalah 1.1 peratus, 8.9 peratus dan 5.0 peratus lebih rendah daripada tahun lepas, dan ini membayangkan penggunaan pesawat dioptimumkan bagi laluan-laluan jarak dekat yang kebanyakannya laluan domestik.
"Ini baik bagi hasil dan margin, dari segi perolehan pendapatan sampingan yang lebih tinggi, dan seterusnya keuntungan yang lebih tinggi," tegasnya.
OSK Research mengekalkan saran 'beli' ke atas saham AirAsia dengan nilai munasabah pada RM3.91.
Comments