Jepun bangun pesawat pengintip



TOKYO 4 Nov. - Jepun berhasrat membangunkan pesawat drone tanpa juruterbang yang boleh membantu dalam mengesan serangan peluru berpandu nuklear Korea Utara dan mengatasi kekuatan tentera China.
Akhbar Yomiuri Shimbun hari ini melaporkan, Kementerian Pertahanan meminta sebanyak tiga bilion yen (RM1.15 bilion) untuk tempoh empat tahun akan datang bagi membangunkan pesawat tersebut dan dijangka boleh beroperasi pada 2020.
Pembangunan drone yang akan dilengkapi sensor inframerah bagi mengesan peluru berpandu pada altitud rendah, dicadangkan selepas Jepun gagal mengesan ujian pelancaran roket Korea Utara pada April lalu.
Keadaan itu menyebabkan Jepun terpaksa bergantung kepada maklumat dari Amerika Syarikat (AS) dan laporan media selepas sistem pengesan negara ini gagal.
Pengawal Jepun menyatakan, sistem amarannya tidak dapat mengesan roket itu kerana laluan penerbangan di altitud rendah.
Jepun kini terlibat dalam tuntutan bertindih dengan China di kawasan Laut China Timur melibatkan kepulauan Senkaku/Diaoyu.
Kapal China dilaporkan keluar masuk dari kawasan perairan tersebut sejak dua bulan lalu, tindakan yang didakwa Jepun sebagai menceroboh kedaulatan negaranya. - AFP

Comments