MAS kendali 37 penerbangan bawa 15,000 jemaah haji Malaysia



SEPANG 2 Nov. - Malaysia Airlines (MAS) mengendalikan sebanyak 37 penerbangan pergi dan balik dari Arab Saudi ke Malaysia dengan membawa pulang seramai 15,000 daripada 28,000 jemaah haji bermula hari ini hingga 29 November ini.

Pengarah Perkhidmatan Pelanggannya, Datuk Salleh Ahmad Tabrani berkata, 31 daripada penerbangan tersebut melibatkan operasi Jeddah ke Malaysia manakala selebihnya akan membawa pulang jemaah haji dari Madinah.

“Daripada 31 penerbangan itu pula, sebanyak 15 penerbangan akan membawa jemaah haji terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lima penerbangan masing-masing ke Pulau Pinang dan Johor Bahru serta dua penerbangan masing-masing ke Terengganu, Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.
“Baki enam penerbangan dari Madinah akan membawa pulang jemaah haji Malaysia ke KLIA," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyambut kepulangan seramai 447 jemaah haji di KLIA, di sini hari ini.
Penerbangan pulang jemaah haji ke tanah air menerusi pesawat MH8201 selamat tiba di KLIA pada pukul 11 pagi ini.

Salleh berkata, pesawat MAS yang membawa pulang jemaah haji ke Johor Bahru bermula hari ini manakala penerbangan ke Pulau Pinang dan Terengganu bermula 12 November ini.
“Ia akan diikuti penerbangan pesawat MAS ke Kuching, Sarawak yang akan bermula pada 14 November ini serta penerbangan ke Kota Kinabalu, Sabah pada 16 November ini," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya berharap operasi penerbangan membawa pulang jemaah haji ke tanah air akan berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Sewaktu operasi penerbangan membawa jemaah haji ke Tanah Suci, kita tiada sebarang masalah mengendalikan tugas berkenaan. Justeru, kita harap perkara sama dalam operasi kali ini.
“Pihak syarikat berpengalaman luas mengendalikan urusan penerbangan ke Tanah Suci dan kita sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia," katanya.


Comments

Popular Posts