Terminal klia2 kendali 20j penumpang



SEPANG 2 Nov. - Terminal klia2 yang dijadual menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada 1 Mei tahun depan dijangka mengendali 20 juta penumpang pada tahun pertama operasinya berbanding kapasiti lapangan terbang itu yang mampu menampung 45 juta penumpang setahun.

Selain 10 penerbangan yang akan berpindah dari LCCT dan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke klia2, lapangan terbang itu yang kini 70 peratus siap juga dijangka menerima dua syarikat penerbangan baru iaitu Firefly dan Malindo Airways.

Pengurus Besar (Pembinaan) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Mohd. Zaifuddin Idris berkata, klia2 apabila disiapkan nanti akan menjadi lapangan terbang pertama di dunia yang dibina khusus untuk penerbangan tambang murah.
''Sasaran jangka panjang kita adalah 50 peratus daripada penerbangan tambang murah di dunia akan mendarat di klia2.

''Pembinaan klia2 adalah mengikut jadual dan kosnya kekal dalam RM4 bilion. Bangunan terminal dijangka siap pada akhir Januari tahun depan manakala infrastrukturnya akan siap pada akhir Mac," katanya.
Beliau kepada demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyempurnaan jambatan udara sepanjang 300 meter yang menghubungkan terminal utama dengan terminal satelit klia2 di sini hari ini.
Terminal klia2 bakal menjadi lapangan terbang ketiga yang mempunyai jambatan udara antara terminal selepas lapangan terbang di Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Jambatan bernilai kira-kira RM150 juta itu akan membolehkan penumpang dihubungkan antara dua terminal klia2 selain membenarkan kapal terbang lalu di bawahnya.
Mengenai isu perpindahan AirAsia dari LCCT ke klia2, Mohd. Zaifuddin mengakui masih terdapat satu atau dua isu yang perlu diselesaikan termasuk mengenai soal sistem daftar masuk.

''Kita pada masa yang sama akan meneruskan pembinaan titi udara (aerobridge) untuk kemudahan penumpang, AirAsia bagaimanapun boleh memilih sama ada mahu menggunakan kemudahan ini atau tidak," katanya.

Comments

Popular Posts