SilkAir tempah pesawat Boeing 737 MAX



MODEL pesawat 777-300ER (kiri) and 737-8 MAX dipamerkan Boeing yang menyertai satu pameran aerospace di Zhuhai, China, baru-baru ini. - REUTERS


SINGAPURA 15 Nov. - Boeing dan SilkAir telah memuktamadkan tempahan untuk 54 buah pesawat 737 dan 737 MAX 8 Generasi Akan Datang yang bernilai AS$4.9 bilion (RM14.9 bilion).
Dengan perjanjian ini, 737 MAX telah mencatatkan 969 tempahan setakat ini, kata Boeing dalam satu kenyataan di sini.
Tempahan untuk SilkAir bagi 23 pesawat 737-800s dan 31 pesawat 737 MAX 8 ialah yang terbesar dalam sejarah syarikat penerbangan itu yang memulakan transisi rangkaiannya kepada pesawat Boeing.
"Keupayaan 737 akan membolehkan kami melebarkan sayap ke lebih banyak destinasi dan meningkatkan kapasiti ke atas laluan-laluan sedia ada," kata Ketua Eksekutif SilkAir, Leslie Thng.
Model 737 dan 737 MAX Generasi Akan Datang boleh terbang jauh daripada kapal terbang yang lain, sekali gus membolehkan syarikat penerbangan itu membuka laluan-laluan baharu.
"Seiring dengan berkembangnya pengembaraan udara di rantau Asia Pasifik, kami bangga dapat menyokong SilkAir kerana ia merancang untuk menerbangkan lebih ramai penumpang dan memberikan perkhidmatan ke lebih banyak bandar raya," kata Naib Presiden Kanan Jualan Asia Pasifik dan India, Boeing Commercial Airplanes, Dinesh Keskar.
"Penumpang bukan sahaja akan menikmati perkhidmatan terbaik SilkAir tetapi juga keselesaan yang disediakan oleh 737 Boeing Sky Interior," tambah beliau.
SilkAir ialah syarikat penerbangan perkhidmatan sepenuhnya dan cabang serantau kepada Singapore Airlines.
Syarikat penerbangan itu pada masa ini mengadakan perkhidmatan ke 42 destinasi di 12 negara



Comments

Popular Posts