MAS: Masih ada cahaya di hujung terowong

PENGURUSAN MAS kini dijangka lebih memberi fokus untuk meraih keyakinan pelanggan dan pada masa sama meningkatkan kadar muatan penumpang. - Gambar Hiasan.


KUALA LUMPUR 18 Mei - Penganalisis industri masih yakin terdapat 'cahaya di hujung terowong' untuk Malaysia Airlines (MAS) memulihkan kedudukan kewangannya, yang ketika ini agak buruk apabila mencatatkan kerugian bersih RM443 juta bagi suku pertama tahun ini berbanding RM279 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Harapan kepada pemulihan itu bergantung kepada usaha-usaha penjimatan kos, penstrukturan pengurusan, penerimaan pesawat baharu yang menjimatkan minyak serta kesempatan yang digunakan oleh syarikat penerbangan itu sebagai ahli perikatan Oneworld.

Menurut analisis Pusat Penerbangan Asia Pasifik (CAPA), MAS telah memulakan kembali aktiviti pemasarannya sejak dua minggu lalu, selepas tidak melakukannya selama dua bulan sebagai menghormati kehilangan pesawat MH370.

"Kebiasaannya pada suku pertama setiap tahun, secara bermusim MAS sentiasa mengalami prestasi yang buruk, tanpa mengira sama ada berlakunya kes kehilangan MH370 atau tidak.

"Apapun, kejadian itu sudah pasti memberi kesan buruk tambahan kepada MAS. Sejauh mana kesannya, bergantung bagaimana proses pemulihan keseluruhan operasi yang dirancang MAS," menurut CAPA kelmarin.

Mengenai penstrukturan semula pengurusan MAS, CAPA berpendapat persoalan kini terletak kepada kesungguhan kerajaan selaku pemegang saham utama syarikat itu. Jelasnya, MAS telah beberapa kali mengalami penstrukturan semula, namun kurang berjaya kerana tiadanya tindakan drastik yang diambil.
Tindakan drastik itu termasuklah menjual unit-unit perniagaan bukan teras.

Bagaimanapun CAPA menjelaskan, usaha menjual kepentingan MAS kepada pihak asing agak sukar dilakukan terutama sekali bakal mendapat tentangan politik.

Malah, penjualan juga sukar dilakukan melainkan syarikat itu telah di struktur semula sebelum dijual. Khazanah Nasional kini memiliki lebih 60 peratus kepentingan ekuiti MAS.

Kajian oleh MIDF Research pula tidak menolak kemungkinan MAS sekali lagi menerima suntikan kewangan dalam tempoh 24 bulan akan datang, memandangkan lebihan tunai ketika ini hanya berbaki RM3.4 bilion bagi menampung pelbagai keperluan operasi.

Sementara Affin Investment Bank pula menyatakan, pengurusan MAS kini dijangka lebih memberi fokus untuk meraih keyakinan pelanggan terhadap syarikat tersebut, dan pada masa sama meningkatkan kadar muatan penumpang.

Jelas Affin, usaha itu bakal dilakukan dengan melibatkan tawaran harga tiket yang kompetitif.
Pada masa yang sama, beberapa nota kajian oleh beberapa perbankan pelaburan yang lain merasakan MAS menghadapi cabaran yang besar untuk mencapai sasaran pemulihan prestasinya menjelang akhir tahun ini, terutama sekali bagi menghadapi tanggapan negatif berhubung kes MH370.

RHB Research Institute, menjangka cabaran yang bakal dihadapi oleh MAS itu turut berkait dengan saingan sengit oleh sesama syarikat penerbangan serantau yang lain.

Comments

Popular Posts