Landasan mendap: MAHB, Kementerian Pengangkutan perlu bertanggungjawab


KUALA LUMPUR 20 Mei - Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan perlu bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah mendapan yang didakwa berlaku di landasan serta kawasan parkir pesawat di lapangan terbang tambang rendah baharu, klia2.

Ingatan itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed susulan aduan yang diterima daripada sumber industri penerbangan mengenai permasalahan tersebut, hampir tiga minggu selepas klia2 beroperasi pada 2 Mei lalu.

Menurut beliau, tanggungjawab itu perlu dipikul memandangkan MAHB dalam satu keterangan kepada PAC baru-baru ini menjelaskan mendapan itu akan berlaku dan boleh dibaiki.

“Dulu, banyak orang yang tak berapa suka bila PAC panggil klia2 (pihak-pihak berkaitan pembinaan). Dalam blog kata mengapa PAC nak sibuk hal klia2? Bagi saya, kita panggil MAHB untuk beri keterangan tentang klia2 dan AirAsia, untuk mendapatkan maklumat. Sekarang baharu kita nampak kelemahan-kelemahan, mula keluar laporan mendapan, ada takungan air di landasan yang tak sepatutnya berlaku. Sebab itu kita panggil MAHB dan AirAsia.

“Tetapi bukan AirAsia yang buat (bina) lapangan terbang itu, itu dibuat oleh MAHB. Sepatutnya mereka bertanggungjawab, Kementerian Pengangkutan kena bertanggungjawab. Baikilah. Bila datang sini (PAC), mereka kata itu masalah yang boleh diselesaikan, kata boleh buat penambahbaikan. Sekarang kita tengoklah," katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat PAC berhubung isu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ditanya tentang laporan sebuah portal yang memetik aduan sumber industri penerbangan berkaitan mendapan di klia2.

Nur Jazlan berkata, kos penambahbaikan mendapan itu dijangka sekitar puluhan hingga ratusan juta ringgit.

“Sudahlah kos pembinaan klia2 RM4 bilion, sekarang kos penambahbaikan berapa pula? Mungkin Rm10 juta atau mungkin RM100 juta, kerana kita membuat penambahbaikan (perkara) yang sudah rosak, yang tak dibina dengan baik," tambahnya.

Berhubung kegagalan urus tadbir Finas yang menerima Sijil Penafian Laporan Kewangan daripada Jabatan Audit Negara pada 2012, katanya, antara isu yang timbul daripada penemuan Jabatan Ketua Audit ialah tentang penyata penyesuaian bank, daftar aset dan susut nilai aset tetap, pendahuluan kewangan dan penyata aliran tunai yang perlu dimantapkan dalam penyediaan akaun.

“Salah satu sebab berlakunya masalah pengurusan akaun oleh Finas ialah penggabungan antara Finas dan Filem Negara Malaysia (FNM) pada tahun lalu. Finas merupakan badan berkanun manakala FNM ialah sebuah jabatan kerajaan. Penggabungan ini melibatkan dua entiti yang tidak sama kerana jabatan kerajaan menggunakan sistem akaun tunai manakala Finas menggunakan akaun akru," katanya.

Comments