Thailand AirAsia X


Nadda Buranasiri berdiri di hadapan pesawat milik Thailand AirAsia X.


KUALA LUMPUR 4 Mei - Setelah merealisasikan hasrat untuk terbang ke Korea Selatan dan Jepun pada pertengahan tahun ini, Thailand AirAsia X akan meneruskan usaha meluaskan sayap penerbangannya dengan meneroka pasaran China pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Thailand AirAsia X, Nadda Buranasiri berkata, dengan pengenalan penerbangan ke Korea Selatan dan Jepun, pihaknya menyasarkan untuk mengendalikan 200,000 penumpang pada tahun ini, iaitu tahun pertama beroperasi.

Beliau berkata, penerbangan ke Korea Selatan dan Jepun itu membabitkan tiga destinasi iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai yang terletak di Jepun.

“Ketiga-tiga destinasi ini mempunyai potensi yang sangat besar dan China pula sedang diteliti kerana penduduknya ramai yang berkunjung ke Thailand," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia dalam satu taklimat media serantau tentang syarikat penerbangan tambang murah baharu itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Dong Mueang, di Bangkok baru-baru ini.

Thailand AirAsia X yang memulakan operasinya pada April merupakan anak syarikat milik 48.9 peratus AirAsia Bhd.

Syarikat penerbangan tambang rendah baharu itu akan mengadakan perkhidmatan ke tiga destinasi Asia mulai 17 Jun ini.

Penerbangan pertamanya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dong Mueang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan pada 17 Jun.

Selepas itu, Thailand AirAsia X akan memulakan penerbangan terus ke Jepun membabitkan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai.

Nadda berkata, syarikat itu akan menggunakan dua buah pesawat Airbus A330-300 untuk ketiga-tiga destinasi tersebut yang mempunyai kapasiti 377 kerusi dengan kelas ekonomi dan `flatbed' premium.
Mengulas kemampuan mengendalikan ketiga-tiga destinasi itu dengan dua pesawat berbadan lebar, beliau berkata, ia adalah tugas syarikat Thailand AirAsia X yang perlu meluaskan hubungan jaringan AirAsia dan meyakinkan penumpang bahawa mereka telah memilih syarikat penerbangan yang tepat.

Comments