klia2 Hab generasi akan datang




Bakal menjadi penanda aras global, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) merealisasikan konsep ‘hab generasi akan datang’ yang akan memudahkan sambungan antara penerbangan perkhidmatan penuh dengan penerbangan kos rendah.

Setelah melalui beberapa episod kontroversi, klia2 akhirnya menjadi mercu tanda terbaharu bagi industri penerbangan dan pelancongan negara ini. Terminal penerbangan yang terletak kira-kira 1.5 kilometer (km) dari KLIA telah memulakan operasinya pada 2 Mei lalu.

klia2 akan menjadi satu-satunya terminal mega khusus di dunia yang memberikan perkhidmatan kepada industri penerbangan kos rendah.

Lapangan terbang ini direka bentuk dengan mempertimbangkan aspek kefleksibelan untuk membolehkan klia2 berkembang bagi menampung trend pertumbuhan dan model operasi syarikat penerbangan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, pembukaan lapangan terbang ini akan dapat menyokong industri penerbangan global yang sentiasa berkembang dan bersifat dinamik.

klia2 dibina khas untuk menampung 45 juta penumpang setahun dengan saiz terminal empat kali ganda lebih besar daripada Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Tidak ketinggalan, terdapat pilihan baharu berinovatif dengan kemudahan terkini di terminal penerbangan kos rendah menawarkan pengalaman beli-belah dan menjamu selera yang segar kepada para penumpang dan pengunjung. Mempunyai matlamat untuk merevolusikan pengalaman beli-belah di lapangan terbang, klia2 mempunyai ruang perniagaan runcitnya seluas 35,000 meter persegi. Bakal menjadi syurga beli-belah untuk para pengembara dan pengunjung, klia2 menawarkan pelbagai jenama terkenal dari seluruh pelosok dunia.

Hab pengangkutan
klia2 menampilkan hab elbagai pengangkutan seperti bas, teksi, dan ERL untuk kemudahan penumpang dan juga orang ramai.

Kemudahan lain di situ ialah sistem pengendalian bagasi automatik, zon sokongan, kargo dan kompleks penerbangan domestik dan sebuah kompleks letak kereta yang luas.

Hab peruncitan
Sebanyak 225 buah kedai disediakan di klia2 dan hampir 60 peratus daripada jumlah tersebut ialah peniaga bumiputera. Hab peruncitan klia2 ini merupakan antara projek permulaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara dalam sektor pemborongan dan peruncitan yang dikawal selia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Ia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ruang niaga di terminal utama dan ruang niaga di Gateway@klia2 atau dikenali sebagai 'Landside Mall'.

Mesra alam
klia2 menggunakan konsep mesra alam dan bangunan hijaunya menggunakan teknologi baharu serba canggih. Bangunan tersebut direka sedemikian bagi tujuan penjimatan tenaga elektrik dan air, selain memulihara alam sekitar daripada tercemar dengan pelepasan sisa-sisa buangan yang tidak diingini. 

Antara ciri-ciri tersebut termasuklah pengumpulan air hujan bagi tujuan landskap dan sistem mengepam tandas, penggunaan cahaya matahari dan sensor bagi mengurangkan kadar kegunaan tenaga, pemasangan tingkap khas serta penggunaan bahan-bahan pembinaan bagi pengurangan haba dalam bangunan.

Mesra Pengunjung
Terminal klia2 juga mesra pengunjung termasuklah orang kelainan upaya (OKU) serta warga emas melalui kemudahan lif serta laluan gerak di sepanjang perjalanan.
Penumpang pelepasan dan ketibaan juga tidak akan bertembung kerana laluannya telah dibahagikan antara bahagian pelepasan di aras tiga serta ketibaan di aras dua. Jarak dari pintu masuk utama ke pintu pelepasan paling hujung ialah 1.4 km.

Hotel Sama-Sama Express yang terletak di klia2 merupakan hotel yang disediakan untuk penumpang yang ingin berehat seketika bagi tujuan transit. Apa yang menarik, rekaan dalaman hotel tersebut serba mewah dan eksklusif. Menawarkan 70 buah bilik pelbagai saiz dan jenis yang berbeza, keluasan sebuah bilik hotel tersebut antara 17 meter persegi hingga 48 meter persegi.

Jambatan udara
Selepas melalui kaunter imigresen dan kastam, orang ramai hanya perlu berjalan menuju ke bangunan satelit melalui satu lagi binaan kebanggaan negara iaitu jambatan udara sepanjang 300 meter dan setinggi 16.24 meter daripada paras laluan apron iaitu laluan pesawat di landasan itu. Ia merupakan kemudahan yang pertama seumpananya di Asia.

Jika di KLIA, pengunjung dihubungkan dari bangunan terminal utama ke bangunan satelit menggunakan aerotren tetapi di klia2, orang ramai boleh berjalan menggunakan jambatan udara ini sambil menikmati pemandangan ketiga-tiga landasan yang ada.

Jambatan udara ini boleh memuatkan dua pesawat sekali gus untuk melintas di bawahnya dan memberikan satu pengalaman menarik buat pengunjung kerana mereka seolah-olah berjalan di atas bumbung pesawat.

Comments