Sayap pesawat patah, 61 penumpang cemas


LONDON 16 Mei - Kira-kira 61 penumpang yang dalam perjalanan dari ibu negara Britain ke Itali mengalami detik-detik mencemaskan apabila komponen bawah sayap pesawat yang dinaiki mereka, terpatah secara tiba-tiba.

Kejadian berkenaan sempat dirakamkan oleh seorang penumpang yang juga wartawan Daily Telegraph, Cole Moreton ketika pesawat terbabit terpaksa berpatah balik untuk melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang London City.

"Saya dan beberapa penumpang lain mendengar bunyi letupan kuat ketika pesawat berlepas dan mendapati komponen bawah sayap di bahagian kiri telah patah.

"Saya memaklumkan kepada krew yang kemudiannya melaporkan kejadian tersebut kepada juruterbang untuk tindakan lanjut," katanya.

Walaupun pesawat jenis Avro Rj85, milik syarikat penerbangan CityJet itu mengalami kerosakan di bahagian sayap, juruterbang berjaya mendaratkan kapal terbang berkenaan dengan selamat.

Jurucakap syarikat itu dalam kenyataannya berkata, kejadian berlaku ketika penerbangan WX 281 baru saja berlepas dan dalam perjalanan ke Florence pada ketinggian 914 meter.

"Krew pesawat mengikut prosedur asas ketika kecemasan dan selepas berbincang dengan Pusat Kawalan Penyelenggaraan CityJet melalui radio, pesawat itu diarahkan mendarat semula di Lapangan Terbang London City.

"Pusat Kawalan Trafik Udara turut dimaklumkan berhubung insiden berkenaan dan sebaik-baik pesawat itu mendarat, kesemua penumpang dibawa menaiki pesawat lain untuk menuju ke destinasi asal," jelas kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, jurucakap Lapangan Terbang London mengesahkan kejadian tersebut yang berpunca akibat masalah mekanikal.

Comments