Ketiadaan MAS beri kesan rantaian industri


KUALA LUMPUR 20 Mei - Pengisytiharan muflis ke atas syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) sekiranya berlaku, dijangka memberi kesan rantaian industri khususnya terhadap syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dengan operasi syarikat penerbangan itu.

Antara dua syarikat utama yang dijangka menerima kesan secara langsung ialah pembekal makanan dalam pesawat utama MAS, Brahim’s Holdings Bhd. (Brahim’s) dan pengendali tunggal lapangan-lapangan terbang tempatan, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).

Menurut kajian oleh Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research), kesan itu berdasarkan dua situasi sama ada MAS bakal mengalami penstrukturan semula melalui pemotongan 30 peratus kapasiti laluan sedia ada atau syarikat penerbangan itu menghentikan operasi serta merta, jika diumumkan muflis.

Penganalisis HLIB Research, Grace Chew berkata, meskipun Brahim’s kini membekalkan makanannya kepada lebih 30 syarikat penerbangan (termasuk MAS), pemotongan 30 peratus kapasiti MAS dijangka memberi kesan sehingga 22.5 peratus kewangan Brahim’s.

“Bagaimanapun, impaknya mungkin lebih kurang memandangkan Brahim’s kini mengenakan bayaran makanan lebih mahal kepada syarikat penerbangan asing kerana kualiti makanan yang dibekalkan lebih baik untuk kekal kompetitif," jelasnya.

Jika MAS menghentikan operasinya serta merta, kerajaan mungkin terpaksa membayar pampasan sehingga RM318 juta kepada Brahim’s, kerana syarikat pembekalan makanan itu telah berjaya memeterai perjanjian dengan MAS untuk konsesi bagi tempoh selama 25 tahun.

“Pampasan itu sudah memadai buat Brahim’s. Pada masa sama mereka masih boleh membekalkan makanan kepada syarikat penerbangan lain yang mungkin mengambil kesempatan ke atas laluan yang mungkin tidak dilalui oleh MAS lagi," jelas Chew dalam kajiannya itu.

Sementara itu, analisis yang dibuat oleh Daniel Wong berkaitan MAHB pula mendapati, pemotongan kapasiti atau pemberhentian operasi oleh MAS dijangka mengalihkan lebih banyak trafik dari terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke terminal pengangkutan tambang murah (LCCT).

Comments