Pesawat tentera Laos terhempas


PASUKAN penyelamat menjalankan usaha menyelamat ke atas pesawat tentera terhempas di Kampung Nadess, Xiang Khouang di utara Laos yang menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Laos terbunuh. - REUTERS


BANGKOK 17 Mei - Timbalan Perdana Menteri Laos, Douangchay Phichit bersama empat pegawai tertinggi kerajaan lain dilaporkan terbunuh apabila pesawat tentera yang dinaiki mereka terhempas di bahagian utara negara ini, pagi ini.

Phichit yang juga Menteri Pertahanan bersama pegawai kerajaan lain itu dipercayai dalam perjalanan ke satu majlis rasmi di wilayah Xiangkhouang, timur laut Laos ketika kejadian itu berlaku.

Menurut Bangkok Post, pesawat tentera jenis Antonov AN74-300 itu yang membawa kira-kira 20 penumpang termasuk Phichit terhempas kira-kira pukul 6.30 pagi waktu tempatan (5.30 pagi waktu Malaysia) di Xiangkhouang.

Laporan terkini portal berita Thai Rath, sebanyak tiga penumpang iaitu seorang pembantu juruterbang, jururawat dan seorang individu tidak dikenali terselamat dalam kejadian itu.

Menurut portal Krungthep Turakit, selain Phichit, Gabenor Vientiane, Soukanh Mahalath dan Sekretariat Jawatankuasa Pusat Parti Pembaharuan Rakyat Laos, Cheuang Sombounkhanh, turut terbunuh.

Jurucakap Kementerian Luar Laos, Sek Wannamethee mengesahkan kematian Phichit dan menyatakan maklumat itu diperoleh daripada kedutaan Thailand di Laos.

Agensi berita Laos, KPL berkata, tumpuan pihak berkuasa kini adalah bagi membantu menyelamatkan mangsa terselamat

Comments