MAS boleh diselamatkan
KUALA LUMPUR 19 Mei - Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) masih boleh diselamatkan dengan syarat amalan pengurusan secara jangka pendek iaitu penjualan aset untuk menjana hasil semata-mata mahu menambah pendapatan dan keuntungan sekejap bagi menutup kerugian yang dialami, dihentikan segera.
Bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, MAS juga perlu berhenti menamatkan laluan penerbangan sedia ada sebaliknya ia perlu diperkasakan melalui penambahan laluan baharu terutama di Eropah.
Selain itu, menurut beliau, syarikat penerbangan itu perlu menghentikan khidmat kepakaran asing yang menelan kos tinggi dalam pengurusan tertinggi sebaliknya membawa masuk kembali tokoh-tokoh tempatan yang sebelum ini berjaya membawa syarikat itu melalui zaman kegemilangan.
Sekarang ini, ramai mengatakan MAS mencari jalan secara 'kitchen sinking' iaitu sejauh mana untuk mencari keuntungan dan kadang-kadang untuk mencapainya mereka mengambil langkah penjualan harta.
MAS perlu berusaha menambah hasil melalui penerbangan dengan melakukan imbangan antara keuntungan dan kerugian iaitu laluan yang rugi diseimbangkan oleh tempat yang menguntungkan bukannya kita tutup laluan seperti ke Dubai dan Rome kemudian apabila hendak masuk kembali sangat susah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas pandangan penganalisis industri yang menaruh keyakinan MAS masih boleh memulihkan kedudukan kewangannya, yang ketika ini agak buruk apabila mencatatkan kerugian bersih RM443 juta bagi suku pertama tahun ini berbanding RM279 juta bagi tempoh masa sama tahun lalu.
Harapan untuk pulih itu bergantung kepada usaha-usaha penjimatan kos, penstrukturan pengurusan, penerimaan pesawat baharu yang menjimatkan minyak serta kesempatan yang digunakan oleh syarikat penerbangan itu sebagai ahli perikatan Oneworld.
Kerugian tersebut agak merisaukan apabila tahun lalu MAS turut mencatat kerugian RM1.17 bilion walaupun terdapat peningkatan dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 36 peratus kepada RM254 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember, berbanding RM187 juta pada tempoh sama tahun kewangan yang lalu.
Menurut Abdul Aziz, penjualan beberapa aset MAS antaranya MAS Kitchen yang menyediakan makanan dalam penerbangan terbukti jalan yang salah apabila melihat pihak yang menguruskannya kini sedang mengaut keuntungan yang sepatutnya menjadi milik MAS.
Lebih merisaukan, katanya, ada ura-ura mengatakan MAS akan turut menjual pusat kejuruteraannya yang telah terbukti menguntungkan iaitu bahagian penyelenggaraan, membaik pulih dan pembaikan (MRO).
Kenapa perlu jual salah satu sumber keuntungan ini? MAS perlu mempertahankannya sampai bila-bila dan pada masa sama mereka perlu mendapatkan kembali aset yang boleh membawa hasil tetapi telah dijual contohnya MAS Kitchen," tegas beliau.
Dalam pada itu, Abdul Aziz menolak pandangan beberapa pihak yang bersetuju supaya MAS diisytihar muflis untuk membolehkan langkah pemulihan dibuat dari awal sebaliknya beliau berharap ia diberi tempoh untuk beberapa tahun lagi sebelum keputusan drastik diambil.
Saya rasa ini kurang bijak kerana apabila muflis reputasi dan imej akan tercemar. Buat langkah pemulihan untuk kali yang terakhir, tengok apa hasilnya dalam beberapa tahun dan jika masih gagal barulah boleh difikirkan untuk isytihar muflis," katanya.
Comments