Kereta langgar pesawat MAS MH740


Sebuah kereta Perodua Viva terperosok ke bawah pesawat MAS MH740 yang sepatutnya berlepas ke Yangon, Myanmar di KLIA Sepang, semalam.


SEPANG 15 Mei - Penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH740 yang dijadualkan ke Yangon, Myanmar pada pukul 10.05 pagi ini terpaksa ditunda selepas sebuah kereta yang tidak ditarik brek tangan dengan kemas terperosok di bahagian bawah kapal terbang itu,

Kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu menyebabkan semua penumpang dalam pesawat B737-800 tersebut terpaksa dipindahkan ke penerbangan berikutnya pada pukul 10.45 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang, kejadian berlaku selepas sebuah kereta jenis Viva milik salah sebuah syarikat vendor kepada MAS bergerak sendiri dan menggelongsor ke bawah pesawat terbabit.

Bagaimanapun kata beliau, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Saya mengesahkan mengenai kejadian ini namun sehingga kini kami masih belum menerima laporan rasmi berhubung kejadian.

“Tiada kerosakan serius yang berlaku terhadap kereta serta pesawat itu cuma sedikit calar dan kereta itu berjaya dikeluarkan dari bawah pesawat selepas dibuang angin pada tayar hadapannya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Yusoff berkata, pihaknya juga mendapati tiada unsur sabotaj berhubung kes tersebut dan pihaknya juga tidak membuka kertas siasatan.

Dalam pada itu, MAS dalam satu kenyataan mengesahkan insiden tersebut dan pihaknya sedang menilai tahap kerosakan terhadap pesawat tersebut.

Pengarah Operasinya, Kapten Izham Ismail berkata, jurutera syarikat telah dihantar ke kawasan tersebut bagi menilai tahap kerosakan terhadap pesawat itu dan menerusi penilaian awal tiada kerosakan teruk berlaku.

Menurut beliau, pihaknya telah melakukan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tahap kerosakan yang berlaku terhadap pesawat tersebut.

“Berikutan itu penerbangan pesawat MH740 terpaksa dijadualkan semula untuk berlepas ke Yangon pada pukul 12.30 tengah hari," katanya

Tambah Izham, keselamatan penumpang MAS sangat penting dan pihaknya meminta maaf kepada semua penumpang pesawat MH740 yang terpaksa berhadapan masalah tersebut sehingga menjejaskan rancangan penerbangan masing-masing.

Comments