AirAsia untung RM139.72 juta




KUALA LUMPUR 20 Mei - AirAsia Bhd., (AirAsia) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM139.72 juta bagi suku pertama tahun ini, yang turut didorong oleh peningkatan penumpangnya pada kadar empat peratus kepada RM5.37 juta.

Syarikat itu mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.3 bilion, iaitu tidak berubah berbanding tempoh sama tahun lalu. Kadar muatan tempat duduk yang dipenuhi turut meningkat sebanyak dua peratus kepada 81 peratus dalam tempoh suku tersebut. Kejayaan itu dicapai melalui strategi mereka untuk meningkatkan bilangan penumpang dalam pesawat.

Jelas syarikat itu dalam kenyataan hari ini, keuntungan operasinya pula menyusut 11 peratus kepada RM223.85 juta disebabkan kadar tambang yang ditawarkan lebih rendah. Bagaimanapun, purata harga tambangnya ialah RM164 berbanding suku sebelum ini iaitu RM158. Keadaan itu dapat diseimbangkan menerusi pendapatan lain selain harga tiket.

Bagi subsidiari-subsidiari peringkat serantau, Thai AirAsia bagaimanapun mencatatkan kejatuhan keuntungan selepas cukai sebanyak 67 peratus. Hal itu didorong oleh perbelanjaan pemasaran selain demonstrasi politik yang berterusan di Bangkok.

Indonesia AirAsia juga turut mencatatkan prestasi yang buruk dengan mencatatkan kerugian disebabkan kejatuhan nilai Rupiah selain kenaikan harga minyak dan penyelenggaraan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes berkata, perkembangan AirAsia telah menyaksikan sumbangan daripada segmen-segmen perniagaannya yang lain semakin berkesan. Katanya, dalam suku pertama itu, syarikat berjaya menjana keuntungan sebanyak RM10.6 juta daripada Thai AirAsia, RM3.7 juta daripada Asian Aviation of Excellence Sdn. Bhd. (AACOE), dan RM2.1 juta daripada AAE Travel Pte. Ltd.

“Tahun ini juga merupakan tahun yang baik kepada syarikat terutama sekali selepas berpindah dari terminal lapangan tambang murah (LCCT) ke klia2 pada 9 Mei lalu.

"Perhubungan yang baik daripada dari Kuala Lumpur ke klia2 mampu membawa kesan positif kepada AirAsia, dan baik selagi caj perkhidmatan penumpang (PSC) terus kekal sepertimana ketika ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Comments

Popular Posts